Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari
Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak)
bertaqwa;
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan
(mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari
rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan
kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu,
serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada
mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran,
mereka tidak akan beriman.
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta
pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka
pula disediakan azab seksa yang amat besar.
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad
dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula
akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka
berdusta (dan mendustakan kebenaran).
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan
kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang
hanya membuat kebaikan".
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang
itu telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman sebagaimana
berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah
orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: "
Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka,
mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami
hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk;
maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk
hidayah.
Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang
menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah
hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam
gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).
Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit,
bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke
dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati.
(Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah
meliputi orang-orang yang kafir itu.
Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka;
tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan
dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu
dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya
pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan
kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi
orang-orang yang) bertaqwa.
Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta
segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya
air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis
buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi
Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan
Yang Maha Esa).
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada
hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang
sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh
menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat
membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan
bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan
untuk orang-orang kafir.
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;
tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga
itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan
mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan
disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang
sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk
hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya),
iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa
perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka
mereka akan berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya):
Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan
menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan
menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;
(Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah
diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya
diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi.
Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.
Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum
lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian
Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan
kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia
menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh
langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku
hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat
ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak
menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan),
padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan
berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya,
kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah
kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".
Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai
pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau
jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
Allah berfirman: "Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada
mereka". Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka,
Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku
mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu
nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?".
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat)
kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis;
ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan
makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan
janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan
menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim".
Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan
menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya
dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada
sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi,
serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".
Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan
taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah,
Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.
Kami berfirman lagi: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika
datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang
diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya
tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka
pula tidak akan berdukacita".
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan
kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku
sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu
merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).
Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan
benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang
mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan
ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit
faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan
diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu
berakal?
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan
sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada
orang-orang yang khusyuk;
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada
kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang
taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).
Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya
seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari
balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil
daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi
sebarang pertolongan.
Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya,
yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka
menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu;
sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar
dari Tuhan kamu.
Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana
melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami
tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.
Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat
kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia
pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang
zalim (terhadap diri sendiri).
Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan
keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang
benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.
Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku!
Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah
patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu;
iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah
yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia
lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani".
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa! Kami tidak akan beriman
kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala
kami)". Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.
Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir)
dan Kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa", (serta Kami berfirman):
"Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu".
Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi
sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.
Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: "Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian
makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja
yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah
diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ' Ya Allah ampunilah dosa kami ';
supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala
orang-orang yang berbuat baik".
Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah
kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami
turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan
sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).
Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka
Kami berfirman: "Pukulah batu itu dengan tongkatmu", (ia pun memukulnya), lalu
terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak
(di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami
berfirman): "Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah
kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi".
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah
jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk
kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari
sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang
dalnya), serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu mahu menukar
sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke
bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu". Dan mereka
ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat
kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur
(mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang
membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada
alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan
mereka pula sentiasa menceroboh.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang
Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman
kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi
mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita.
Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami
angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): "Terimalah Taurat
yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan
bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya,
supaya kamu bertaqwa.
Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak
menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas
kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu
dari golongan orang-orang yang rugi.
Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang
di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman
kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".
Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi
orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan
suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah
menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah
engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku
berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil
(yang melakukan sesuatu yang tidak patut)".
Mereka berkata pula: "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya
kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya
Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu
tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka
kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya".
Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
diterangkanNya kepada kami apa warnanya?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah
berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua
warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya".
Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya
lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan
kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu
itu)".
Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang
dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak
tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram
tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya". Mereka
berkata: "Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang
sebenar". Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir
mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.
Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu
tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap
melahirkan apa yang kamu sembunyikan.
Maka Kami (Allah) berfirman: "Pukulah si mati dengan sebahagian anggota lembu
yang kamu sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup).
Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan
kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.
Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih
keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air
sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu
keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah
kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa
yang kamu kerjakan.
(Sesudah kamu - wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang
kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa
mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal
sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah
(Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka
memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?
Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu dengan
orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Kami telah beriman"; dan apabila
mereka berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: "Patutkah kamu ceritakan kepada
mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada
kamu (di dalam Kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk
menjadikannya hujah (bukti) yang dapat mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu?
Tidakkah kamu berakal?"
Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak
mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari
ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan
sahaja.
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka
(lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka
berkata: "Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat
membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka
disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka
dari apa yang mereka usahakan itu.
Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka
kecuali beberapa hari yang tertentu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu
sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi
janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu
mengetahuinya?"
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat
kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah
ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.