Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu
(bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu
pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat
keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang
kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan
(silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati
(mengawas) kamu.
Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan
janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu
makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana
sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.
Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim
(apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang
kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian
jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka
(berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang
kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu
tidak melakukan kezaliman.
Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai
pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada
kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang
halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna
akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah
menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan
berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu
niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur
(dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang
menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka
serahkanlah kepada mereka hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak
yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang)
sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu)
yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang
miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila
kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi
(yang menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan
segala yang kamu lakukan).
Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat,
dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan
kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu
bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).
Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim
serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka
berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka
dengan kata-kata yang baik.
Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak
yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka
pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah)
mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak
mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka
mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim,
sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka
pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.
Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu,
iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.
Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah
dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan
itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan
bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari
harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi
jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu
bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu
mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu
perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah
diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan
anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta
banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian
masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah;
sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu
jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu
beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan
wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka
(isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu
tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka
(isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan,
sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang
kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak
meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu)
atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah
satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari
seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak
lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si
mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya
tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu)
ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Penyabar.
Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang
taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang
mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah
kejayaan yang amat besar.
Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas
SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di
dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.
Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan
kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap
perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan
perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam
rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk
mereka jalan keluar (dari hukuman itu).
Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu,
(setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian
jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka
biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat,
lagi Maha Luas rahmatNya.
Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang
yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera
bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya;
dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan
kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia:
"Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah
terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap
kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa
yang tidak terperi sakitnya.
Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi
perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka
(dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik
sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka
melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka
(isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai)
benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru
menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak
menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).
Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang
kamu ceraikan) sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya
(isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil
sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak
benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata?
Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra
kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri
kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?
Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah
diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang
lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci
(oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam
perkahwinan).
Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut):
ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara
bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki,
dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah
menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan
anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah
campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu
telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya).
Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang
berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali
(untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang
lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang,
kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah
suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya)
dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu,
untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara
berzina. Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya
(setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya
(dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Dan
tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama
oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan
kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk
berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang
terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan
hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki. Dan Allah lebih mengetahui
akan iman kamu; kamu masing-masing (suami yang merdeka dan isteri dari hamba -
abdi itu) adalah berasal sama (dari Adam, dan seugama pula). Oleh itu
berkahwinlah dengan mereka dengan izin walinya serta berikanlah maskahwinnya
menurut yang patut. Mereka (hamba-hamba perempuan yang akan dijadikan isteri,
hendaklah) yang sopan bukan perempuan-perempuan lacur, dan bukan pula yang
mengambil lelaki sebagai teman simpanan. Kemudian setelah mereka (hamba-hamba
perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka
mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas
perempuan-perempuan yang merdeka. (Hukum perkahwinan) yang demikian (yang
membolehkan seseorang berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu ialah bagi
orang-orang yang bimbang melakukan zina di antara kamu; dan sabarnya kamu (tidak
berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan
(ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Allah menghendaki (dengan apa yang telah diharamkan dan dihalalkan dari kaum
perempuan itu) ialah untuk menerangkan (SyariatNya) dan untuk menunjukkan kepada
kamu jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan
orang-orang yang soleh, supaya kamu mengikutinya), dan juga untuk menerima
taubat kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu,
sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang
diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari
kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya.
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu
sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan
jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan
janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa
Mengasihani kamu.
Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan
masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah
bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).
Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan
ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke
tempat yang mulia (syurga).
Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang
Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka)
melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau
pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari
apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa
yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan
limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Dan bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati), kami telah tetapkan
orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang
dekat. Dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka
(untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada
mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum
perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan
beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang
lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka
perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya),
dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara)
ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.
Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz)
hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka
di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan
pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada
kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.
Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka
lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari
keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang
tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan
menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa
Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia
dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa,
dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran
tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang
musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;
Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta
menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah
kurnianya. Dan (sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab
seksa yang amat menghina;
Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada
manusia (riak), dan mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga
beriman kepada hari akhirat. Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi
kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.
Dan apakah (kerugian) yang akan menimpa mereka jika mereka beriman kepada Allah
dan hari akhirat, serta mereka mendermakan sebahagian dari apa yang telah
dikurniakan Allah kepada mereka? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengetahui akan
keadaan mereka.
Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat
zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan,
nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat
besar.
Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila
Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri
menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai
Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?
Pada hari itu orang-orang yang kafir dan menderhaka kepada Rasulullah, suka jika
mereka disama ratakan dengan tanah (ditelan bumi), dan (ketika itu) mereka tidak
dapat menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah.
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang
(mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan
mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid)
sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas
sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam
musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau
kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi
atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci,
iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha
Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
Tidakkah engkau memerhatikan (wahai Muhammad) orang-orang yang telah diberikan
sebahagian dari Kitab, mereka memilih kesesatan (dengan meninggalkan pertunjuk
Tuhan), dan mereka pula berkehendak supaya kamu juga sesat jalan.
Dan Allah lebih mengetahui berkenaan dengan musuh-musuh kamu, (oleh itu awasilah
angkara musuh kamu itu). Dan cukuplah Allah sebagai Pengawal yang melindungi,
dan cukuplah Allah sebagai Penolong (yang menyelamatkan kamu dari angkara
mereka).
Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah
(isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada
Nabi Muhammad): "Kami dengar", (sedang mereka berkata dalam hati): "Kami tidak
akan menurut". (Mereka juga berkata): "Tolonglah dengar, tuan tidak
diperdengarkan sesuatu yang buruk", serta (mereka mengatakan): "Raaeina";
(Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutar belitkan perkataan mereka
dan mencela ugama Islam. Dan kalaulah mereka berkata: "Kami dengar dan kami
taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami", tentulah yang demikian
itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka
dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu, mereka tidak beriman kecuali sedikit
sahaja (di antara mereka).
Wahai orang-orang yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang
telah Kami turunkan (Al-Quran), yang mengesahkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu,
sebelum Kami menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu (sehingga berubah
menjadi rata - tidak bermulut, berhidung dan bermata), lalu Kami menjadikannya
sama seperti rupa sebelah belakangnya, atau Kami melaknatkan mereka sebagaimana
Kami telah melaknatkan orang-orang (dari kaum mereka - Yahudi) yang melanggar
larangan bekerja pada hari Sabtu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu tetap
berlaku.
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya
(dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang
mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah
melakukan dosa yang besar.
Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang
yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia)
bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya); dan mereka pula tidak akan dianiaya
(atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.
Lihatlah (wahai Muhammad) betapa beraninya mereka mengada-adakan perkara-perkara
dusta terhadap Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang terang nyata.
Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang
yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada
benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka
pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah) bahawa mereka
(kaum musyrik itu) lebih betul jalan ugamanya daripada orang-orang yang beriman
(kepada Nabi Muhammad s.a.w).
(Kaum Yahudi yang demikian sikapnya) mereka itulah orang-orang yang dilaknat
oleh Allah; dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali
akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya.
Patutkah ada bagi mereka (kaum Yahudi itu) sesuatu bahagian dari kekuasaan
memerintah? (Tidak, bahkan kalau ada) maka sudah tentu mereka tidak akan
memberikan sedikitpun kebaikan kepada manusia.
Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya)
disebabkan nikmat (pangkat Nabi dan ugama Islam) yang telah diberikan oleh Allah
kepada mereka dari limpah kurniaNya? Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi
kepada keluarga Ibrahim: Kitab (ugama) dan hikmat (pangkat Nabi), dan kami telah
memberi kepada mereka kerajaan yang besar.
Maka di antara mereka (kaum Yahudi yang dengki itu) ada yang beriman kepada (apa
yang telah di kurniakan oleh Allah kepada keluarga Nabi Ibrahim) itu, dan ada
pula di antara mereka yang berpaling daripadanya (tidak beriman). Dan cukuplah
dengan neraka jahanam yang sentiasa menyala-nyala itu (menjadi tempat seksa
mereka).
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami,
Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak
hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa
azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi
Maha Bijaksana.
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke
dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya
selama-lamanya. Mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri
yang suci bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa
dinaungi.
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara
manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan
(suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.
Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu
kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari
kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu
perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran)
dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang
mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan
kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu?
Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan
supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak
menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran
yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya engkau
melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan
bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.
Maka bagaimana halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan
(kesalahan) yang telah dibuat oleh tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang
kepadamu sambil bersumpah: "Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki
melainkan kebaikan dan perdamaian (bagi kedua pihak yang berbalah)".
Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati
mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka,
serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati
mereka.
Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan
izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang
kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga
memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima
taubat, lagi Maha Mengasihani.
Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga
mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di
antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu
keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu
dengan sepenuhnya.
Dan sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): "Bunuhlah
diri kamu sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu", nescaya mereka
tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. Dan sesungguhnya
kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah
diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan
lebih meneguhkan (iman mereka).
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan
di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah
kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang
Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi
teman rakan (kepada orang-orang yang taat).
Wahai orang-orang yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu
menghadapi musuh), kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak
demi sepuak, atau (jika perlu) maralah serentak beramai-ramai.
Dan sesungguhnya ada di antara kamu: orang-orang yang sengaja memberat-beratkan
dirinya (juga orang lain, daripada turut mara ke medan perang). Kemudian kalau
kamu ditimpa kemalangan (tercedera atau terbunuh) ia berkata: "Sesungguhnya
Allah telah mengurniakan nikmat kepadaku, kerana aku tidak turut berperang
bersama-sama mereka".
Dan demi sesungguhnya kalau kamu beroleh limpah kurnia (kemenangan) dari Allah,
sudah tentu ia mengatakan (dengan sesalnya), seolah-olah tidak ada hubungan
kasih mesra antara kamu dengannya: "Alangkah baiknya kalau aku turut serta
bersama-sama mereka, supaya aku juga beroleh kemenangan yang amat besar?"
Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat
daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan
Allah (untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia
mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya
pahala yang besar.
Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan
Allah (untuk menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang
tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu
(berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri
(Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah
bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan ugama kami),
dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari
ancaman musuh)".
Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir
pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan
pengikut-pengikut Syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah
lemah.
Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang
(pernah) dikatakan kepada mereka: "Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak
melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta
berikanlah zakat". (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila
mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun
kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih
gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami,
mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak
biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?" Katakanlah
(wahai Muhammad): "Harba benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah
sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih
baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal
selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun".
Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal),
sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau
mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi
Allah", dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:" Ini adalah dari
(sesuatu nahas) yang ada padamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Semuanya itu
(kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah". Maka apakah yang
menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan
pengajaran)?