Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari
Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati
sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan
kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.
Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu
petunjuk bagi Bani Israil (serta Kami perintahkan mereka): "Janganlah kamu
jadikan yang lain daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu
kepadanya)".
(Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh
(di dalam bahtera)! Sesungguhnya ia adalah seorang hamba yang bersyukur.
Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan
melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan
berlaku sombong angkuh dengan melampau.
Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama
dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang
kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk
rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah
satu janji yang tetap berlaku.
Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk
mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan
dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah
untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk)
berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas
perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk
memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki
masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang
pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan
sehancur-hancurnya.
Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika
kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia);
dan kami telah jadikan neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari
akhirat).
Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama
Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang
mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.
Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia
berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat)
terburu-buru.
Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan
kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan
Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki
dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan
hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu
perlukan untuk dunia dan ugama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu
(dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.
Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan
pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya)
yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).
(Lalu Kami perintahkan kepadanya): "Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah
engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala
yang telah engkau lakukan)".
Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka
sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya
sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya
ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan
memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah
Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk
menerangkan yang benar dan yang salah).
Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri,
Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di
antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat
padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya
sehancur-hancurnya.
Dan berapa banyak umat-umat yang kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh;
dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa
hambaNya.
Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya
dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian
Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya
dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.
Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang
baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka
mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.
Tiap-tiap golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami
hulurkan kepada mereka dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah
pemberian Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun).
Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang
lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat
lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan
kelebihannya.
Janganlah engkau adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam ibadatmu), kerana
akibatnya engkau akan tinggal dalam keadaan tercela dan kecewa dari mendapat
pertolongan.
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya
semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah
seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam
jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang
perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking
menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang
bersopan santun).
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan
kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku!
Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih
sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu
orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia
adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.
Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan
haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros
yang melampau.
Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki
dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang
menyenangkan hati.
Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula
engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah
engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.
Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut undang-undang peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut
yang demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat
akan hamba-hambaNya.
Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah
yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan
membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.
Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah
membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara
zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut
balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu,
kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum
Syarak).
Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik
(untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak
mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah
dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan
timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan
sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan
mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua
anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana
sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat
menyamai setinggi gunung-ganang.
Perintah yang demikian itu ialah sebahagian dari hikmat yang telah diwahyukan
kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan
bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan
dicampakkan ke dalam neraka Jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari
rahmat Allah).
(Jika demikian wajibnya mengesakan Allah, maka patutkah kamu mendakwa bahawa
Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula dari jenis yang kamu tidak sukai?).
Adakah Tuhan kamu telah memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil
untuk diriNya anak-anak perempuan dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu
adalah memperkatakan dusta yang amat besar.
Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan jalan-jalan menetapkan iktiqad dan
tauhid dengan berbagai cara di dalam Al-Quran ini supaya mereka beringat
(memahami dan mematuhi kebenaran); dalam pada itu, penerangan yang berbagai cara
itu tidak menjadikan mereka melainkan bertambah liar.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah ada tuhan-tuhan yang lain bersama-sama
Allah, sebagaimana yang mereka katakan itu, tentulah tuhan-tuhan itu akan
mencari jalan kepada Allah yang mempunyai Arasy (dan kekuasaan yang mutlak).
Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa
mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan
memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia
adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.
Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan
ingkar dan hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu
sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami
bacaanmu.
Dan Kami jadikan (perasaan itu sebagai) tutupan yang berlapis-lapis atas hati
mereka, juga sebagai penyumbat pada telinga mereka, yang menghalang mereka dari
memahami dan mendengar kebenaran Al-Quran; dan sebab itulah apabila engkau
menyebut nama Tuhanmu sahaja di dalam Al-Quran, mereka berpaling undur melarikan
diri.
Kami lebih mengetahui akan tujuan mereka mendengar Al-Quran semasa mereka
mendengar bacaanmu (wahai Muhammad), dan semasa mereka berbisik-bisik iaitu
ketika orang-orang yang zalim itu berkata (sesama sendiri): "Kamu tidak menurut
melainkan seorang yang kena sihir".
Lihatlah (wahai Muhammad) bagaimana mereka menyifatkan engkau dengan yang
bukan-bukan, maka dengan sebab itu mereka sesat, sehingga mereka tidak dapat
mencari jalan kebenaran.
Atau lain-lain makhluk yang terlintas di hati kamu sukar hidupnya, (maka Allah
berkuasa menghidupkannya)!" Mereka pula akan bertanya: "Siapakah yang akan
mengembalikan kita hidup semula?" Katakanlah: "Ialah Allah yang menjadikan kamu
pada mulanya!" Maka mereka akan menganggukkan kepala mereka kepadamu sambil
bertanya secara mengejek: Bila berlakunya?" Katakanlah: "Dipercayai akan berlaku
tidak lama lagi!"
(Ingatlah akan) hari Ia menyeru kamu lalu kamu menyahut sambil memuji
kekuasaanNya, dan kamu menyangka, bahawa kamu tinggal (dalam kubur) hanya
sebentar.
Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya
mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang
menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara
mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh
yang amat nyata bagi manusia.
Tuhan kamu lebih mengetahui akan keadaan kamu; jika Ia kehendaki, Ia akan
memberi rahmat kepada kamu; atau jika Ia kehendaki, Ia akan menyeksa kamu. Dan
Kami tidak mengutusmu kepada mereka (wahai Muhammad), sebagai wakil yang
menguasai urusan mereka.
Dan Tuhanmu (wahai Muhammad) lebih mengetahui akan sekalian makhluk yang ada di
langit dan di bumi; dan sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi
atas setengahnya yang lain; dan Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada Nabi
Daud.
Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah orang-orang yang
kamu dakwa (boleh memberi pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu
mereka tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat
memindahkannya".
orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri
kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat
kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan
azabNya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya)
ditakuti.
Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari
kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya dengan azab seksa yang berat; yang
demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz).
Dan tiada yang menghalang Kami dari menghantar turun mukjizat yang mereka minta
itu melainkan kerana jenis mukjizat itu telah didustakan oleh kaum-kaum yang
telah lalu; dan di antaranya Kami telahpun memberikan kepada kaum Thamud unta
betina sebagai mukjizat yang menjadi keterangan yang nyata, lalu mereka berlaku
zalim kepadanya; dan biasanya Kami tidak menghantar turun mukjizat-mukjizat itu
melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya
kalau mereka tidak beriman).
Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa
sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan
tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami
perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian
juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka
takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka
melainkan dengan kekufuran yang melampau.
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah
kamu kepada Adam"; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: "Patutkah
aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?"
Ia berkata lagi: "Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan
mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku
akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)".
Allah berfirman (kepada iblis): "Pergilah (lakukanlah apa yang engkau
rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya
neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.
Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu;
dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk
mengalahkan mereka; dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan
harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan
janji-janjimu)". Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan
tipu daya semata-mata.
Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai
iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah
Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).
Tuhan kamulah yang menjalankan untuk kamu kapal-kapal di laut, supaya kamu dapat
mencari rezeki dari limpah kurniaNya; sesungguhnya Ia adalah Maha Mengasihani
kepada kamu.
Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari
ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila
Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan
memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).
Adakah kamu - (sesudah diselamatkan ke darat) - merasa aman (dan tidak
memikirkan), bahawa Allah akan menggempakan sebahagian dari daratan itu menimbus
kamu, atau dia akan menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu
dengan batu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung kamu?
Atau adakah kamu merasa aman (dan tidak memikirkan) bahawa Allah akan
mengembalikan kamu sekali lagi ke laut, kemudian Ia menghantarkan kepada kamu
angin ribut yang memecah belahkan segala yang dirempuhnya, lalu Ia mengaramkan
kamu dengan sebab kekufuran kamu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang
boleh menuntut bela tentang itu terhadap Kami?
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri
mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah
memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah
lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah
Kami ciptakan.
(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya;
kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan
membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya
yang baik) sedikitpun.
Dan sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkanmu (wahai Muhammad) dari
apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami
perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) baharulah
mereka menjadikan engkau sahabat karibnya.
Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran),
tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak
mereka.
Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu
kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga
semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seseorang penolong pun terhadap
hukuman Kami.
Dan sesungguhnya mereka hampir-hampir berjaya mengganggumu daripada tinggal aman
di bumi (Makkah) dengan tujuan mereka dapat mengusirmu dari negeri itu; dan jika
berlaku demikian, maka mereka tidak akan tinggal di situ sesudahmu melainkan
sedikit masa sahaja.
(Demikianlah) peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-orang yang telah Kami
utuskan sebelummu dari Rasul-rasul Kami; dan engkau tidak akan dapati sebarang
perubahan bagi peraturan Kami yang tetap itu.
Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam,
dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah
disaksikan (keistimewaannya).
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang
tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit
dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.