Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai
anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahanNya; dan Dia lah
yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu
dengan ketentuan takdir yang sempurna.
Dan mereka (yang kafir) mengambil benda-benda yang lain dari Allah sebagai
tuhan-tuhan, yang tidak dapat mencipta sesuatupun, bahkan benda-benda itu
diciptakan (oleh penyembah-penyembahnya dari bahan-bahan di bumi); dan
benda-benda itu pula tidak berkuasa mendatangkan sesuatu bahaya atau sesuatu
faedah untuk dirinya sendiri; dan tidak berkuasa mematikan atau menghidupkan,
atau pun membangkitkan hidup semula makhluk-makhluk yang telah mati.
Dan orang-orang yang kafir itu berkata: "(Al-Quran) ini hanyalah satu perkara
dusta yang direka-reka oleh Muhammad, dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang
lain". Maka (dengan kata-kata itu) sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu
tuduhan yang zalim dan dusta.
Dan mereka berkata lagi: "Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang
dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang
ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)".
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Al-Quran itu diturunkan oleh Allah yang mengetahui
segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.
Dan mereka pula berkata: "Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di
pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat
kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama
dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya).
"Atau diberikan perbendaharaan harta benda kepadanya, atau ia mempunyai sebuah
kebun untuk ia makan hasilnya". Dan orang-orang yang zalim itu berkata pula
(kepada orang-orang yang beriman): "Sebenarnya kamu hanyalah menurut seorang
yang tidak siuman".
Lihatlah (Wahai Muhammad) bagaimana mereka membuat untukmu berbagai misal
perbandingan (yang bukan-bukan), dengan sebab itu sesatlah mereka, sehingga
mereka tidak mendapat jalan petunjuk.
Maha Berkat Tuhan yang jika Ia kehendaki tentulah Ia akan mengadakan untukmu (di
dunia ini) sesuatu yang lebih baik dari apa yang mereka katakan itu, iaitu
syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta mengadakan
untukmu istana-istana (yang tersergam indah).
(Mereka bukan sahaja mendustakanmu) bahkan mereka juga mendustakan hari kiamat;
dan Kami telah sediakan bagi sesiapa yang mendustakan hari kiamat itu, api yang
menjulang-julang.
Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam neraka itu, dengan
keadaan mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan
(yang melepaskan dari azab itu).
(Lalu dikatakan kepada mereka): "Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada hari
ini sejenis kebinasaan sahaja, tetapi mintalah kebinasaan sebanyak-banyaknya
(kerana azab yang menunggu kamu di sini banyak jenisnya)".
Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah (azab seksa neraka) yang demikian itu lebih
baik atau Syurga yang kekal, yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa?"
Syurga yang sedia diuntukkan bagi mereka sebagai balasan dan tempat kembali.
Mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki, mereka pula kekal
di dalamnya. Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Tuhanmu,
lagi yang dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing).
Dan (ingatkanlah) hari Tuhan menghimpunkan mereka (yang kafir) dan
makhluk-makhluk yang mereka sembah yang lain dari Allah, lalu Ia bertanya
(kepada makhluk-makhluk yang telah dipuja dan disembah itu): "Kamukah yang
menyesatkan hamba-hambaKu itu atau mereka yang sesat jalan?"
Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhan kami)! Sudah tentu tidak patut
bagi kami mengambil sesiapa pun yang lain daripadaMu sebagai pelindung yang
disembah (dan tidak patut juga kami menyeru orang menyembah kami); tetapi engkau
(wahai Tuhan kami) telah melimpahkan kemewahan kepada mereka dan kepada datuk
neneknya sehingga mereka lalai dan cuaikan ajaran ugamaMu, dan menjadilah mereka
kaum yang binasa".
Maka (dikatakan pula kepada golongan itu): "Sesungguhnya mereka (yang kamu puja
dan sembah) itu telah mendustakan dakwaan kamu (bahawa mereka yang menyesatkan
kamu). Oleh itu, kamu semua tidak akan dapat menjauhkan azab seksa atau beroleh
sebarang pertolongan". Dan sesiapa yang berlaku zalim di antara kamu (wahai umat
manusia, dengan kekufuran atau maksiat), Kami akan merasakannya azab seksa yang
besar.
Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan
orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan
sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya
ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah)
adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya).
Dan berkatalah pula orang-orang yang tidak percaya akan menemui Kami: "Mengapa
tidak diturunkan malaikat kepada kita, atau kita dapat melihat Tuhan kita?" Demi
sesungguhnya, mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka sendiri,
dan telah melampaui batas dengan cara yang sebesar-besarnya.
(Ingatkanlah) hari mereka melihat malaikat, pada hari itu tiadalah sebarang
berita gembira bagi orang-orang yang bersalah (bahkan sebaliknya), dan mereka
akan berkata: "Semoga kita jauh - dijauhkan (dari sebarang keadaan yang buruk)".
Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis
amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu
yang berterbangan.
Dan (sebutkanlah perihal) hari segala langit pecah-belah (disertakan) dengan
kumpulan awan (yang berisi malaikat), dan (pada hari yang tersebut) diturunkan
malaikat itu dengan cara berpasuk-pasukan.
Kuasa pemerintahan yang sebenar-benarnya pada hari itu adalah tertentu bagi
Allah Yang Maha melimpah rahmatNya, dan adalah ia satu masa yang amat sukar
keadaannya kepada orang-orang kafir.
Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua
tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku
(di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?
"Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran)
setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan
manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)".
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan
orang-orang yang bersalah; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi
Pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap
mereka).
Dan orang-orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu
kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)?" Al-Quran diturunkan dengan
cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad)
dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.
Dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk
menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang
sebaik-baiknya (untuk menangkis segala yang mereka katakan itu).
Orang-orang yang akan diseret beramai-ramai ke neraka Jahannam (dengan
tertiarap) atas mukanya, merekalah orang-orang yang amat buruk keadaannya dan
amat sesat jalannya.
Lalu Kami perintahkan: "Pergilah kamu berdua kepada kaum yang mendustakan
ayat-ayat keterangan Kami"; maka (kesudahannya) Kami binasakan kaum itu
sehancur-hancurnya.
Dan (demikian juga) kaum Nabi Nuh, ketika mereka mendustakan Rasul-rasul Kami,
Kami tenggelamkan mereka, dan Kami jadikan mereka satu tanda (yang menjadi
contoh) bagi umat manusia; dan Kami sediakan bagi sesiapa yang zalim; azab seksa
yang tidak terperi sakitnya.
Dan demi sesungguhnya, mereka (yang menentangmu wahai Muhammad) telah melalui
bandar yang telah dihujani (dengan) azab yang buruk, maka (mengapa mereka masih
berdegil), tidakkah mereka selalu dapat menyaksikannya? (Mereka tidak fikirkan
yang demikian itu satu balasan kufur) bahkan mereka adalah orang-orang yang
tidak ingatkan adanya kebangkitan hidup semula (untuk menerima balasan).
Dan apabila mereka melihatmu (wahai Muhammad), mereka hanyalah menjadikanmu
ejek-ejekan (sambil mereka berkata): "Inikah orangnya yang diutus oleh Allah
sebagai RasulNya?
"Sebenarnya ia hampir-hampir dapat menyesatkan kami dari tuhan-tuhan kami, jika
tidaklah kerana kami tetap teguh menyembahnya". Dan mereka akan mengetahui kelak
ketika mereka melihat azab seksa: siapakah yang sebenar-benarnya sesat jalannya.
Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa
nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas
yang menjaganya jangan sesat?
Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami
(apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang
ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.
Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? - bagaimana Ia menjadikan
bayang-bayang itu terbentang (luas kawasannya) dan jika Ia kehendaki tentulah Ia
menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! Kemudian Kami jadikan
matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;
Dan Dia lah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan
menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar
mencari rezeki.
Untuk Kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati, serta memberi minum air itu
kepada sebahagian dari makhluk-makhluk Kami, khasnya binatang ternak yang banyak
dan manusia yang ramai.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah berulang-ulang kali menyebarkan hujjah-hujjah
di antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalku serta
bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku
kufur.
Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir,
dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan
perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.
Dan Dia lah Tuhan yang telah mengalirkan dua laut berdampingan, yang satu tawar
lagi memuaskan dahaga, dan yang satu lagi masin lagi pahit; serta Ia menjadikan
antara kedua-dua laut itu sempadan dan sekatan yang menyekat percampuran
keduanya.
Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya
(mempunyai) titisan baka dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya
tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).
Dan mereka (yang musyrik) menyembah benda-benda yang lain dari Allah, yang tidak
memberi manfaat kepada mereka (yang menyembahnya) dan tidak pula mendatangkan
mudarat kepada mereka (yang tidak menyembahnya); dan orang yang kafir selalu
menjadi pembantu (bagi golongannya yang kafir) untuk menderhaka kepada tuhannya.
Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita
gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang
yang ingkar).
Katakanlah: "Aku tidak meminta kepada kamu sebarang balasan bagi apa yang aku
sampaikan kepada kamu, selain daripada berimannya seseorang yang mahu
mendapatkan jalan sampainya kepada keredaan Allah".
Dan berserahlah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati; serta
bertasbihlah dengan memujiNya; dan cukuplah Ia mengetahui secara mendalam akan
dosa-dosa hambaNya;
Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya,
dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy, Ialah Ar-Rahman (Tuhan
Yang Maha Pemurah); maka bertanyalah akan hal itu kepada Yang Mengetahuinya.
Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang musyrik itu): "Sujudlah kamu kepada
Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah)!" Mereka bertanya: "Dan siapakah Ar-Rahman
itu? Patutkah kami sujud kepada apa sahaja yang engkau perintahkan kami?" Dan
perintah yang demikian, menjadikan mereka bertambah liar ingkar.
Dan Dia lah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang
mahu beringat (memikirkan kebesaranNya), atau mahu bersyukur (akan
nikmat-nikmatNya itu).
Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan
di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang
adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang
selamat dari perkara yang tidak diingini;
Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab
neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan
hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya)
perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan
bakhil) itu.
Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan
tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang
hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan
yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;
Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka
orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan
kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri
tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka
bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara
membersihkan diri daripadanya.
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi
peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk
mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta.
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan
berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat
keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah
kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga
disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan
ucapan selamat di dalamnya,
Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): "Tuhanku tidak akan
menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu
telah mengetahui bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun
melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi
(ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab
(disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu".