Qaaf. Demi Al-Quran yang melimpah-limpah kemuliaan dan kebaikannya (bahawa
sesungguhnya Muhammad adalah Rasul yang diutus memberi peringatan dan amaran).
(Kaum musyrik Makkah bukan sahaja mengingkari kerasulannya) bahkan mereka merasa
hairan kerana datang kepada mereka, dari kalangan mereka sendiri, seorang Rasul
pemberi peringatan dan amaran (mengenai perkara hidup semula sesudah mati); lalu
orang-orang yang kafir itu berkata: "Ini adalah satu perkara yang menakjubkan!
"Adakah (kita akan kembali hidup) sesudah kita mati dan menjadi tanah? Itu
adalah cara kembali yang jauh (dari kemungkinan, kerana jasad yang telah hancur
tidak dapat diketahui lagi)".
(Apa yang mereka katakan itu tidaklah benar, kerana) Kami sedia mengetahui apa
yang dimakan oleh bumi sedikit demi sedikit dari (tubuh orang mati) mereka,
serta ada di sisi Kami sebuah Kitab yang menyimpan (catitan segala perkara yang
berlaku).
(Mereka tidak mahu berfikir betul) bahkan mereka (terburu-buru) mendustakan
kebenaran apabila sahaja sampainya kepada mereka; oleh sebab itu, mereka berada
dalam keadaan yang serba kacau.
(Kalaulah mereka menyangka Kami tidak berkuasa mengembalikan mereka hidup
semula) maka tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah atas mereka
(dengan tidak bertiang) bagaimana Kami membinanya (dengan rapi) serta Kami
menghiasinya (dengan bintang-bintang), dan dengan keadaan tidak ada padanya
retak-renggang? -
Dan juga (keadaan) bumi ini, (bagaimana) Kami bentangkan dia sebagai hamparan,
dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan
padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur?
(Kami adakan semuanya itu) untuk menjadi perhatian dan peringatan, (yang
menunjukkan jalan kebenaran), kepada tiap-tiap seorang hamba Allah yang mahu
kembali kepadaNya (dengan taat dan berbakti).
Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya,
lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan
biji-bijian yang dituai;
(Semuanya itu) sebagai rezeki bagi hamba-hamba Kami. Dan lagi Kami telah
hidupkan dengan air itu bumi yang mati; demikianlah pula keadaan keluarnya
(orang-orang yang mati dari kubur setelah dibangkitkan hidup semula).
Sebelum mereka (yang menentang Nabi Muhammad) itu - kaum Nabi Nuh, dan
"Ashaabur-Rassi" serta Thamud (kaum Nabi Soleh), telah juga mendustakan Rasul
masing-masing,
Dan juga penduduk "Aikah", serta kaum " Tubba' "; tiap-tiap satu kaum itu telah
mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepadanya), lalu mereka ditimpa azab yang
Aku janjikan.
(Setelah mereka melihat dan memerhatikan makhluk-makhluk yang Kami ciptakan itu)
maka adakah Kami telah lemah dengan ciptaan yang pertama itu (sehingga Kami
tidak dapat mengadakannya semula? Tidak! Dan merekapun tidak mengingkari
kekuasaan Kami). Bahkan mereka berada dalam keadaan keliru dan ragu-ragu tentang
ciptaan makhluk-makhluk (hidup semula) dalam bentuk yang baharu.
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa
yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya
daripada urat lehernya,
Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala
perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu
lagi di sebelah kirinya.
Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang
dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia
(menerima dan menulisnya).
Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmuat" membawa kebenaran
(yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu):
"Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!"
Dan lagi (apabila sampai saat yang ditentukan) ditiuplah sangkakala (untuk
menghidupkan semula makhluk-makhluk yang telah mati); saat itu ialah hari
berlakunya amaran yang telah diberikan.
Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua
malaikat: yang satu menjadi) pembawa, dan (yang satu lagi menjadi) saksi;
(Serta dikatakan kepadanya): "Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada
dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian
yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat
menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)".
Dan berkatalah malaikat yang sentiasa ada bersama-samanya: "Inilah (Kitab
catitan iman dan amal) orang yang terletak dalam jagaanku, siap sedia (untuk
dibicarakan)".
(Setelah tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang
menjadi pembawa dan saksi itu): "Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam neraka
Jahannam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya; -
(Semasa ia dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa Syaitanlah
yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di
dunia dahulu) berkata: "Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi
sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong".
Allah berfirman: "Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, (tidak ada gunanya
berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui
bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang-orang
yang bersalah).
(Serta dikatakan kepada mereka): "Inilah yang dijanjikan kepada kamu, - kepada
tiap-tiap hamba yang sentiasa kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadat),
lagi yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan
Allah);
"(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa
tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang
(kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat".
(Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): "Masuklah kamu ke dalam
Syurga dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang
kekal".
Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) yang terdahulu daripada orang-orang
musyrik Makkah itu Kami telah binasakan. Kaum-kaum itu lebih kekuatannya (dan
kehandalannya) daripada mereka, lalu kaum-kaum itu keluar mencari perlindungan
di merata-rata negeri. (Meskipun demikian keadaannya) dapatkah (mereka)
menyelamatkan diri?
Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu,
tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang
sedar pada masa membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan
bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran
kepadanya.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menciptakan langit dan bumi serta segala yang
ada di antara keduanya dalam enam masa, dan Kami tidak mengalami sebarang susah
payah.
Oleh itu bersabarlah (wahai Muhammad) akan apa yang dikatakan oleh mereka (yang
menentangmu itu), dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu (terutama) sebelum
terbit matahari dan sebelum matahari terbenam.
Dan dengarlah (apa yang diterangkan kepadamu sekarang ini mengenai hari kiamat),
hari (malaikat yang menjadi) penyeru, menyeru (makhluk-makhluk yang telah mati)
dari tempat yang dekat yang dapat didengar oleh semuanya),
Pada hari bumi terbelah-belah untuk mereka segera keluar (daripadanya).
Perbuatan (menghidupkan dan) menghimpunkan mereka di Padang Mahsyar itu, mudah
bagi Kami melaksanakannya.
Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakan (dari berbagai tuduhan terhadapmu
wahai Muhammad), dan engkau bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka
(supaya masing-masing beriman). Oleh itu, berilah peringatan dengan Al-Quran ini
kepada orang yang takutkan janji azabKu.