(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan
kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah
orang-orang yang berbuat kebaikan.
Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi)
hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada
meminta).
Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya (apa yang tersebut) itu tetap
benar, (tidak patut diragu-ragukan) sebagaimana (tidak sepatutnya diragukan)
benarnya kamu dapat berkata-kata.
Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam
sejahtera kepadamu!" Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! "(Sambil berkata
dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal.
(Setelah dilihatnya mereka mereka tidak menjamah makanan itu), maka ia merasa
takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: "Janganlah
engkau takut (wahai Ibrahim)". Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya,
bahawa ia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan.
(Mendengarkan berita yang mengembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil
menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: "Aku sudah tua, lagi
mandul, (bagaimana aku boleh mendapat anak)?"
(Sesudah dipereksa) maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah
rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada
Nabi Lut).
Dan Kami tinggalkan di negeri itu (timbunan batu-batu yang telah menghujani dan
membinasakan mereka), sebagai tanda (yang mendatangkan keinsafan) bagi
orang-orang yang sedia takut kepada azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Dan juga pada (kisah) Nabi Musa (terdapat dalil-dalil yang memberi keinsafan), -
ketika kami mengutusnya kepada Firaun dengan membawa mukjizat yang nyata.
Dan juga pada (kisah) kaum Aad (terdapat perkara-perkara yang menjadi iktibar),
- ketika kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang tidak mengandungi
sebarang kebaikan; -
Dan juga pada (kisah) kaum Thamud (terdapat perkara-perkara yang menjadi
pelajaran) - ketika dikatakan kepada mereka: "Bersenang-senanglah kamu hingga ke
suatu waktu (yang termaklum)!"
Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang
kukuh rapi). Dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak
terhingga.
(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada
Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu,
sebagai pemberi amaran yang nyata.
"Dan janganlah kamu adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam kepercayaan
kamu), sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu sebagai pemberi amaran
yang nyata".
Demikianlah (keadaan tiap-tiap kaum terhadap Rasulnya samalah seperti keadaan
kaummu wahai Muhammad) - tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada
kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: "Dia adalah
seorang ahli sihir, atau seorang gila".
Adakah mereka semua telah berpesan-pesan (dan mencapai kata sepakat) untuk
melemparkan tuduhan itu ? (Sudah tentu mereka tidak dapat berbuat demikian),
bahkan mereka semuanya adalah kaum yang melampaui batas (dalam keingkarannya).
Oleh itu, berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka (yang menentangmu itu
dan janganlah dihiraukan), kerana engkau tidak akan disalahkan (setelah engkau
memberi amaran kepada mereka).
Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian
makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga,
lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.
(Setelah ternyata hakikat yang demikian), maka sesungguhnya bagi orang-orang
yang zalim (yang menentang ajaran Nabi Muhammad) itu ada bahagiannya (dari azab
seksa) seperti bahagian rakan-rakan mereka (kaum kafir yang telah lalu). Oleh
itu, janganlah mereka meminta kepadaKu menyegerakan kedatangannya.