Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya,
dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang
tersusun kukuh.
Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai
kaumku! Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya
aku ini Pesuruh Allah kepada kamu?" Maka ketika mereka menyeleweng (dari
kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari
mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk
kepada kaum yang fasik - derhaka.
Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani
Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran
Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita
gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku -
bernama: Ahmad". Maka ketika ia datang kepada mereka membawa
keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang
jelas nyata!"
Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta
terhadap Allah, sedang ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah
tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan
mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang
kafir tidak suka (akan yang demikian).
Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah
petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya Ia memenangkannya dan
meninggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak
menyukainya.
Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan
menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah
yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang
sebenarnya).
(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke
dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan
kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan
yang besar.
Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan
kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang
mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.
Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama)
Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia)
berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam
perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?" Mereka menjawab:
"Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!" (Setelah Nabi Isa tidak berada di
antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi
(tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman
untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.