Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah
kamu minta disegerakan. Maha suci Allah dan Maha tinggilah Ia dari perbuatan
syirik yang mereka lakukan.
Ia menurunkan malaikat membawa wahyu dengan perintahNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (yang layak menjadi Rasul); (lalu Ia
berfirman kepada Rasul-rasul): "Hendaklah kamu menegaskan kepada umat manusia
bahawa tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepadaku".
Dan binatang-binatang ternak itu, Ia juga menciptakannya untuk kamu; terdapat
padanya benda-benda yang memanaskan tubuh dari sejuk dan beberapa faedah yang
lain; dan daripadanya juga kamu makan.
Dan bagi kamu pada binatang-binatang ternak itu, keindahan (yang menarik hati)
ketika kamu membawanya balik untuk berihat (pada waktu petang), dan ketika kamu
membawanya keluar (pada waktu pagi).
Dan binatang-binatang itu pula membawa barang-barang kamu ke mana-mana negeri
yang kamu tidak dapat sampai kepadanya melainkan dengan menanggung susah payah.
Sesungguhnya Tuhan kamu Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya.
Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya,
dan untuk menjadi perhiasan; dan Ia menjadikan apa yang kamu tidak
mengetahuinya.
Dan kepada Allah jualah tertentunya urusan memberi panduan yang menerangkan
jalan yang lurus; dan di antara jalan-jalan yang dituju ada yang terpesong dari
kebenaran; dan jika Ia kehendaki, tentulah Ia memberi petunjuk kepada kamu semua
(yang menyampaikan ke jalan yang lurus itu).
Dia lah yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman
kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan)
untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak: makan padanya.
Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan
pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari segala jenis
buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan
kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir.
Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan
bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan
kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya.
Dan apa-apa jua yang dijadikan untuk kamu di bumi yang berlainan jenisnya
(dimudahkan juga untuk kegunaan kamu). Sesungguhnya yang demikian itu
mengandungi satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi kaum yang mahu
mengingati nikmat Allah itu.
Dan Dia lah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging
yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda
perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal
belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah
kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.
Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak
menghayun-hayunkan kamu; dan Ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu
lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.
Kalau sudah demikian, adakah Allah yang menciptakan semuanya itu sama seperti
makhluk-makhluk yang tidak menciptakan sesuatu? Maka patutkah kamu lalai
sehingga kamu tidak mahu beringat serta memikirkannya?
Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu),
tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Tuhan kamu (yang berhak disembah) ialah Tuhan yang satu (Maha Esa); oleh itu,
orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat: hati mereka ingkar dan sikap
zahir mereka sombong takbur (menentang kebenaran).
Sebenarnya, bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa
yang mereka zahirkan; sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang sombong
takbur.
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Apakah yang diturunkan oleh Tuhan kamu
(kepada nabi Muhammad)?" Mereka menjawab: "Cerita-cerita dongeng orang-orang
dahulu kala".
(Mereka dibiarkan menuduh dengan yang demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa
mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul sebahagian dari dosa
orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang
benar; sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu.
Sebenarnya orang-orang yang terdahulu dari mereka telah menjalankan rancangan
jahat (terhadap ugama Allah dan Rasul-rasulNya); maka Allah binasakan bangunan
(rancangan jahat) mereka dari asas-asasnya, lalu bumbung (bangunan itu) jatuh
menimpa ke atas mereka, dan mereka pula didatangi azab kebinasaan dari arah yang
mereka tidak menyedarinya.
Kemudian pada hari kiamat, Allah menghinakan mereka (dengan azab seksa) sambil
bertanya: "Mana dia sekutu-sekutuKu yang kamu berperi-peri memusuhi (Nabi-nabi
dan orang-orang yang beriman) untuk membela mereka?" (Pada ketika itu)
berkatalah orang-orang yang beroleh ilmu pengetahuan: "Sesungguhnya kehinaan
hari ini dan azab seksa, adalah tertimpa kepada orang-orang yang kafir;
(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka
menganiaya diri sendiri (dengan kekufurannya)." Lalu mereka tunduk menyerah
(ketika melihat azab sambil berkata): "Kami tiada melakukan sesuatu kejahatan".
(Malaikat menjawab): "Bahkan (kamu ada melakukannya); sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui akan apa yang kamu telah kerjakan".
"Oleh itu, masukilah pintu-pintu neraka, tinggal kekalah kamu di dalamnya; maka
sesungguhnya (neraka itu) seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong
takbur".
Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan
oleh tuhan yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan"
orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan
sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri
akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa.
(Untuk mereka) Syurga-syurga " Adn ", yang mereka akan memasukinya, yang
mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang
mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertaqwa,
(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih
suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka:
"Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik
yang telah kamu kerjakan".
(Apakah yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) Mereka tidak
menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang akan mencabut nyawa mereka), atau
kedatangan azab Tuhanmu (yang akan membinasakan mereka). Demikianlah juga yang
dilakukan oleh orang-orang kafir yang terdahulu daripada mereka (lalu
dibinasakan); dan (sebenarnya) Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah
yang menganiaya diri sendiri.
Oleh itu, mereka ditimpa azab sebagai balasan perbuatan jahat yang mereka
lakukan; dan azab Allah itu meliputi mereka sebagai balasan bagi apa yang mereka
telah ejek-ejek dahulu.
Dan berkatalah orang-orang kafir musyrik: "Kalaulah Allah menghendaki, tentulah
kami tidak menyembah selain daripadanya sesuatupun, - (tidak) kami dan tidak
juga datuk nenek kami; - dan tentulah kami tidak mengharamkan sesuatu pun dengan
ketiadaan perintahnya". Demikianlah juga yang telah dilakukan oleh orang-orang
yang terdahulu daripada mereka. (Apa yang mereka katakan itu adalah salah
semata-mata) kerana bukankah Rasul-rasul semuanya tidak bertanggungjawab selain
daripada menyampaikan (kehendak dan hukum Allah) dengan cara yang jelas nyata?
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul
(dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan
jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada
yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa
kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana
buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.
Jika engkau (wahai Muhammad) terlalu tamak (inginkan mereka beroleh hidayah
petunjuk, maka sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada
orang-orang yang berhak disesatkanNya; dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang
dapat memberikan pertolongan.
Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh-sungguh (sambil
berkata): "Allah tidak akan membangkitkan semula orang-orang yang telah mati".
(Itu tidak benar), bahkan janji Allah membangkitkan orang-orang yang telah mati)
tetap benar; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
(Allah menghidupkan semula orang-orang yang mati) untuk menerangkan kepada
mereka apa yang mereka berselisihan padanya, dan supaya orang-orang kafir
mengetahui bahawa mereka adalah orang-orang yang berdusta.
Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas
oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada
tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih
besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.
Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan
dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu
bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan
ugama jika kamu tidak mengetahui.
(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata
(yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan);
dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi
peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah
diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.
(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah orang-orang yang merancang dan
melakukan kejahatan-kejahatan itu merasa aman daripada ditimbuskan oleh Allah
akan mereka ke dalam bumi, atau mereka didatangi azab dari arah yang mereka
tidak menyedarinya?
Atau Ia membinasakan mereka secara mengejut dalam masa mereka berulang alik
melakukan kerja masing-masing? Kerana sebenarnya mereka tidak akan dapat
melemahkan kuasa Allah.
Tidakkah mereka melihat dan memikirkan segala yang telah dijadikan oleh Allah,
yang beredar (berpindah-randah) bayang-bayangnya ke kanan dan ke kiri (pada pagi
dan petang), dengan keadaan tunduk menurut peraturan dan kehendak Allah, sedang
mereka merendah diri?
Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi,
dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka
(malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan
sujud kepadaNya).
Dan Allah berfirman: "Janganlah kamu bertuhankan dua tuhan, kerana sesungguhnya
Tuhan itu hanyalah Tuhan yang satu; maka kepada Akulah sahaja hendaknya kamu
gerun gementar.
Dan bagiNyalah (hak milik) segala yang ada di langit dan di bumi; dan kepadaNya
sahaja tertentu ibadat dan ketaatan selama-lamanya; (sesudah kamu mengetahui
yang demikian) maka tidaklah patut kamu takut kepada yang lain dari Allah.
Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah; kemudian,
apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepadaNyalah kamu meraung meminta
pertolongan.
Kemudian, apabila Ia menghapuskan kesusahan itu daripada kamu, tiba-tiba sepuak
di antara kamu mempersekutukan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan mereka.
(Mereka melakukan yang demikian) kerana mereka kufur, tidak bersyukur akan
nikmat-nikmat yang kami berikan kepada mereka. Oleh itu, bersenang-senanglah
kamu (dengan nikmat-nikmat itu bagi sementara di dunia), kemudian kamu akan
mengetahui (balasan buruk yang akan menimpa kamu).
Dan mereka (yang musyrik itu) menentukan untuk keperluan benda-benda yang mereka
tidak mengetahui hal keadaannya, sebahagian dari harta-benda yang kami kurniakan
kepada mereka. Demi Allah! Sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang
kamu ada-adakan secara dusta itu.
Dan mereka mengatakan Allah mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Ia. Sedang
bagi mereka pula mereka sediakan apa yang mereka sukai (anak-anak lelaki).
Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak
perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang
ia menahan perasaan marahnya dalam hati.
Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk
yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia
berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia
akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang
mereka hukumkan itu.
Bagi mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, sifat yang buruk, dan
bagi Allah jualah sifat yang tertinggi; dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi
Maha Bijaksana.
Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Ia
tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi
Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian
apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan
sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.
Dan mereka mengadakan bagi Allah apa yang mereka sendiri tidak menyukainya;
dalam pada itu, lidah mereka memperkatakan perkara yang dusta, (kononnya) bahawa
mereka akan beroleh kesudahan yang baik di sisi Allah. Tidak syak lagi, bahawa
bagi merekalah api neraka, dan bahawa merekalah orang-orang yang disegerakan
(masuknya ke dalam neraka).
Demi Allah! Sesungguhnya kami juga telah mengutus Rasul-rasul kepada umat-umat
yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad), lalu Syaitan memperelokkan pada
pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu; maka dia lah
menjadi pemimpin mereka pada hari ini; dan mereka akan beroleh azab seksa yang
tidak terperi sakitnya.
Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya
engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan
supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Dan Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Ia menghidupkan dengan air hujan
itu akan bumi sesudah matinya; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu
tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mendengar
(peringatan ini dan memahaminya).
Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang
mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari
dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu
yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang
meminumnya.
Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram
dan makanan serta minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu
terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang
mahu menggunakan akalnya.
Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di
gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang
didirikan oleh manusia.
Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau
sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan
dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman
(madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari
berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang
membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.
Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Ia
menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan
matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur
yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat
akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi
Maha Kuasa.
Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada
rezeki yang dikurniakanNya; dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan
itu tidak mahu memberikan sebahagian dari kelebihan hartanya kepada hamba-hamba
mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka
tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?
Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan
(isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit,
serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah
mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan
berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?
Dan mereka menyembah benda-benda yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa
memberikan mereka sebarang rezeki pemberian dari langit dan bumi, dan mereka
pula tidak berdaya sama sekali mendapat kuasa itu.
Oleh itu, janganlah kamu mengadakan sesuatu yang sebanding dengan Allah, kerana
sesungguhnya Allah mengetahui (setakat mana buruknya perbuatan syirik kamu)
sedang kamu tidak mengetahuinya.
Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba abdi yang menjadi milik
orang, yang tidak berkuasa melakukan dengan bebasnya sesuatupun; dan seorang
lagi (yang merdeka) yang Kami kurniakan kepadanya pemberian yang baik (harta
kekayaan) dari Kami, maka dia pun membelanjakan hartanya dengan bebasnya, sama
ada secara bersembunyi atau terbuka, adakah kedua orang itu sama? Segala puji
tertentu bagi Allah (dan Allah jualah yang berhak disembah), tetapi kebanyakan
mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid itu).
Dan Allah memberikan satu misal perbandingan lagi: Dua orang lelaki, salah
seorangnya kelu pekak dari semulajadinya, tidak dapat menyatakan apa yang
difikirkannya dan tidak dapat mendengar apa yang dikatakan kepadanya; dan ia
pula menjadi beban kepada orang yang menjaganya; ke mana sahaja ia diarahkan
pergi oleh penjaganya, tak dapatlah dia membawa sesuatu yang berfaedah; adakah
dia (yang demikian sifatnya) sama seperti orang (yang boleh berkata-kata serta
dapat) menyuruh orang ramai melakukan keadilan, dan ia sendiri pula berada di
atas jalan yang lurus (jalan yang benar)?
Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui segala rahsia langit dan bumi;
tiadalah hal kedatangan hari kiamat itu melainkan seperti sekelip mata, atau ia
lebih cepat lagi; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui
sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta
hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.
Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang
melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan
Allah; sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda-tanda (yang membuktikan
kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.
Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat
tinggal; dan Ia menjadikan bagi kamu dari kulit binatang-binatang ternak:
khemah-khemah (tempat berteduh), yang kamu mendapatinya ringan (di bawa ke
mana-mana) semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti; dan (Ia juga
menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu,
berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga
ke suatu masa.
Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya: benda-benda
untuk berteduh, dan Ia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang
tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang
memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu
semasa berjuang. Demikianlah, Ia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya
kamu berserah diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya.
Kemudian, jika mereka masih berpaling ingkar maka sesungguhnya engkau (wahai
Muhammad) hanya bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan
cara yang jelas nyata.
Mereka mengetahui nikmat Allah (yang melimpah-limpah itu), kemudian mereka
tergamak mengingkarinya; dan kebanyakan mereka pula ialah orang-orang yang kufur
ingkar.
Dan (ingatkanlah kepada mereka yang musyrik tentang) hari Kami bangkitkan dari
tiap-tiap umat, seorang saksi; kemudian tidak diizinkan bagi orang-orang yang
kafir (memberi sebarang alasan), dan mereka pula tidak diminta memohon keredaan
Allah.
Dan apabila orang-orang yang melakukan kezaliman (dengan kekufurannya) itu
melihat azab, maka tidak akan diringankan azab itu daripada mereka, dan mereka
pula tidak diberi tempoh.
Dan apabila orang-orang musyrik melihat makhluk-makhluk dan benda-benda yang
mereka jadikan sekutu-sekutu Allah, mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, inilah
dia yang kami jadikan sekutu-sekutu (bagiMu), yang kami sembah mereka dengan
meninggalkanMu". Maka dengan serta-merta makhluk-makhluk yang puja itu menolak
dakwaan mereka dengan berkata: "Sesungguhnya kamu adalah berdusta".
Dan pada hari itu mereka semua menyerah diri bulat-bulat kepada Allah, dan
hilang lenyaplah dari mereka (yang musyrik itu) apa yang telah mereka ada-adakan
(sebagai sekutu-sekutu Allah).
Orang-orang yang kafir dan menghalangi (dirinya serta orang lain) dari jalan
Allah, Kami tambahi mereka azab seksa di samping azab (yang menimpa mereka),
disebabkan mereka membuat kerosakan.
Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat,
seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami
datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu);
dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi
hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi
orang-orang Islam.
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi
bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan
yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan
laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.
Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu
berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu
menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai
Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu
lakukan.
Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu
benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu
menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah
dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari
golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian
itu; dan Ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang
kamu berselisihan padanya.
Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu
dalam ugama Allah yang satu); akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan
sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan.
Dan janganlah kamu jadikan sumpah kamu sebagai tipu daya sesama kamu, kerana
dengan yang demikian itu akan menyebabkan tergelincir kaki kamu sesudah ia tetap
teguh (di atas jalan yang benar); dan kamu pula akan merasai balasan buruk (di
dunia) dengan sebab kamu menghalangi manusia dari jalan Allah; dan bagi kamu
juga disediakan azab yang besar (di akhirat kelak).
Dan janganlah kamu jadikan pesanan-pesanan dan perintah Allah sebagai modal
untuk mendapat keuntungan dunia yang sedikit; sesugguhnya apa yang ada di sisi
Allah (dari balasan yang baik), itulah sahaja yang lebih baik bagi kamu,
kalaulah kamu mengetahui.
(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang
ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar
dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.
Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka
sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan
sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari
apa yang mereka telah kerjakan.
Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih
dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.
Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan
dia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan
syirik kepada Allah.
Dan apabila Kami tukarkan satu ayat (Al-Quran) untuk menggantikan ayat yang lain
(yang dimansukhkan), dan Allah memang mengetahui akan apa yang Ia turunkan, -
berkatalah mereka (yang kafir): "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah
seorang pendusta"; (padahal Nabi Muhammad tidak berdusta) bahkan kebanyakan
mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya.
Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril)
dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, untuk meneguhkan iman
orang-orang yang beriman, dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang
mengembirakan bagi orang-orang Islam.
Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa mereka yang musyrik itu berkata: "
Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia". (Padahal) bahasa orang yang mereka
sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al-Quran ini
berbahasa Arab yang fasih nyata.
Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, Allah tidak
akan memberi hidayah petunjuk kepada mereka, dan mereka pula beroleh azab yang
tidak terperi sakitnya.
Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman
kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang yang bertabikat
berdusta.
Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan
azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya
tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima
kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh
azab yang besar.
(Kekufuran mereka) yang demikian, ialah kerana mereka lebih mengutamakan
kehidupan dunia daripada hari akhirat, dan kerana Allah tidak memberi hidayah
petunjuk yang menyampaikan kaum yang kufur ingkar (kepada kebahagiaan di
akhirat).
Mereka itulah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah Taala hati mereka dan
pendengaran mereka serta penglihatan mereka; dan merekalah orang-orang yang
lalai.
Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang
telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka
berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu - sesudah mereka menderita dan
bersabar dalam perjuangan - adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka itu pada hari kiamat), hari tiap-tiap
diri datang membela dirinya semata-mata, dan tiap-tiap diri disempurnakan
balasan apa yang ia telah kerjakan (sama ada baik atau jahat), sedang mereka
tidak akan dianiaya sedikit pun.
Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh:
Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah
dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu,
maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya
disebabkan apa yang mereka telah lakukan.
Dan demi sesungguhnya, mereka pula telah didatangi seorang Rasul dari kalangan
mereka sendiri, lalu mereka mendustakannya; maka mereka pun ditimpa azab sedang
mereka berkeadaan zalim.
Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah
dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan
bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah,
dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa
terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak
melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa),
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu:
"Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap
Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.
Dan kepada orang-orang Yahudi, Kami haramkan apa yang telah kami ceritakan
kepadamu dahulu; dan tiadalah Kami menganiaya mereka (dengan pengharaman itu),
tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.
Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu terhadap orang-orang yang melakukan kejahatan
dengan sebab kejahilan, kemudian mereka bertaubat sesudah itu serta memperbaiki
amalannya, sesungguhnya Tuhanmu sesudah (mereka bertaubat) itu, adalah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.