Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya
kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat
menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan
sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai
ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.
Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan
angkuhnya, seoleh-oleh ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah
dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya.
Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya;
dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak
menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan
Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis
tanaman yang memberi banyak manfaat.
Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah
yang telah diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripadaNya (yang kamu
sembah itu)? (Tidak ada sesuatu pun) bahkan orang-orang yang zalim (dengan
perbuatan syiriknya) itu berada dalam kesesatan yang jelas nyata.
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta
Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya
kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang
kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi
hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat
kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah
(dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu
kezaliman yang besar".
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah
mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung
hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua
tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu;
dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu
yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka
janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan
cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu
(dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali
kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah
kerjakan.
(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku,
sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun
seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau
pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya);
kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan
segala yang tersembunyi.
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan,
serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas
segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari
perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada
manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong;
sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi
membanggakan diri.
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu
apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami
nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia
orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan
sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan
mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran.
Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): "Turutlah akan apa yang telah
diturunkan oleh Allah" mereka menjawab:" (Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa
yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah mereka (menurut datuk
neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang
menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka yang marak menjulang?
Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang
ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada
simpulan (tali ugama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan
segala urusan.
Dan sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad)
berdukacita tentang kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka,
kemudian Kami akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah
kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang
terkandung di dalam dada.
Kami akan berikan mereka menikmati kesenangan bagi sementara (di dunia),
kemudian Kami akan memaksa mereka (dengan menyeretnya) ke dalam azab yang amat
berat.
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang
musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka
akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai
bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah),
bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian
syirik).
Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan
(menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya
tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Bagi Allah Yang Maha Kuasa) soal menciptakan kamu semua (dari tiada kepada
ada), dan soal membangkitkan kamu hidup semula sesudah mati, tidak ada apa-apa
sukarnya, hanyalah seperti (mencipta dan menghidupkan semula) seorang manusia
sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam pada siang dan
memasukkan siang pada malam (silih berganti), dan Ia memudahkan matahari dan
bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Tiap-tiap satu dari keduanya beredar
untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Bersifatnya Allah dengan penuh kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana
bahawasanya Allah Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala
yang mereka sembah selain dari Allah adalah palsu belaka. Dan (ingatlah)
sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar
(kekuasaanNya).
Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan
nikmat Kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda
kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan
dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh
pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.
Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta
diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada
saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan
mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke
darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur
kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari
bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir
janji, lagi amat tidak mengenang budi.
Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari
(akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya
dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya
dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah
benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula
kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani
melanggar perintah Allah.
Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia
lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya
tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun
yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau
jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia
akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi
pengetahuanNya.