Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang
segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika
berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira -
Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja,
dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.
Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak
memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah
tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu
melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya
yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak
di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan
Tuhannya.
Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan
bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu
lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi
serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan
orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa
keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan
kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak
sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
Sesudah dibinasakan di dunia maka akibat orang-orang yang melakukan kejahatan
itu ialah seburuk-buruk azab (di akhirat kelak), disebabkan mereka mendustakan
ayat-ayat keterangan Allah dan sentiasa mempersendakannya.
Allah memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup
semula pada hari kiamat), kemudian kepadaNyalah kamu akan dikembalikan (untuk
menerima balasan).
Dan makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu-sekutu Allah itu tidak ada
satupun daripadanya pemberi syafaat melepaskan mereka (dari azab Allah), padahal
mereka berlaku kufur di dunia dahulu dengan sebab makhluk-makhluk yang mereka
sekutukan (dengan Allah) itu.
Dan sebaliknya kumpulan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami
(Al-Quran) serta mendustakan pertemuan hari akhirat, maka mereka akan tetap
berada dalam azab seksa selama-lamanya.
Serta pujilah Allah yang berhak menerima segala puji (dari sekalian makhlukNya)
di langit dan di bumi, dan juga (bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia) pada
waktu petang dan semasa kamu berada pada waktu zuhur.
Ia mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda
yang mati dari sesuatu yang hidup, serta menghidupkan bumi sesudah matinya; dan
sedemikian itulah kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur).
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu
semula), bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja
peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di
muka bumi.
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia
menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu
sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya
di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang
menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya
ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi
orang-orang yang berpengetahuan.
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya
ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari
rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan
yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu
mendengar (nasihat pengajaran).
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia
memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan
memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit,
lalu Ia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang
demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan
akal untuk memahamiNya.
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan ilmuNya dan kekuasaanNya,
ialah terdirinya langit dan bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan
perintah dan penentuan takdirNya; akhirnya apabila Ia menyeru kamu dengan satu
seruan (supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu dengan serta merta
keluar (dari kubur masing-masing).
Dan Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia
mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka mati), sedang perlaksanaan yang
demikian amatlah mudah bagiNya. Dan bagiNyalah jua sifat yang tertinggi di
langit dan di bumi, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Ia mengemukakan kepada kamu satu misal perbandingan dari keadaan diri kamu
sendiri, iaitu: Relakah kamu menerima sebahagian dari hamba-hamba abdi yang kamu
miliki itu menjadi rakan kongsi kamu pada harta benda yang Kami telah kurniakan
kepada kamu, supaya dengan penerimaan kamu itu, mereka dengan kamu menjadi
sama-sama berhak padanya, sehingga kamu pun tidak berani (menguruskan harta
benda itu dengan tiada persetujuan) mereka, sebagaimana kamu tidak berani
(berbuat demikian dengan orang-orang yang berkongsi dengan kamu - yang setaraf
dengan) diri kamu? Demikianlah Kami menjelaskan keterangan-keterangan satu
persatu bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahaminya.
Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka
(melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang
dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan
bawaannya sendiri), dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong
melepaskan mereka dari azab.
(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan
pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan;
(turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan
keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada
sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi
kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali
kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu
kepadaNya; dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna; dan janganlah kamu
menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik -
Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman ugama mereka berselisihan mengikut
kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap
puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang
terpesong itu).
Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada
Tuhan mereka dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila
Allah memberi mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian
dari mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya;
Dengan sebab itu, mereka mengingkari nikmat-nikmat yang telah Kami berikan
kepadanya. Maka (dikatakan kepada mereka): "Bersenang-senanglah kamu (bagi
sementara), kemudian kamu akan mengetahui (balasan kederhakaan kamu)".
Pernahkah Kami menurunkan kepada mereka (yang musyrik itu) sebarang bukti
keterangan, lalu ia menerangkan jalan yang membolehkan mereka lakukan perbuatan
syirik itu?
Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira
dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana
disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka
berputus asa.
(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan
hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya
(sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang
menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)?
Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang
membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.
Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang
miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian
adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka
itulah orang-orang yang berjaya.
Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan,
supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak
sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan
sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan
mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah
orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.
Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah
itu Ia mematikan kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara
makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat
sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya
dari apa yang mereka sekutukan (denganNya).
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan
sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian)
kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan
buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana
kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan
mereka adalah orang-orang musyrik".
(Jika demikian keadaannya) maka hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad) ke arah
ugama yang betul, sebelum datangnya dari Allah: hari yang tak dapat ditolak;
pada hari itu manusia akan berpecah (kepada dua golongan).
Sesiapa yang kufur ingkar maka dia lah sahaja yang menanggung bencana
kekufurannya itu, dan sesiapa yang beramal soleh (yang membuktikan imannya),
maka merekalah orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka
masing-masing;
Kerana Allah akan membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari
limpah kurniaNya. Sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang kufur
ingkar.
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya, bahawa Ia menghantarkan
angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan; dan untuk merasakan kamu
sedikit dari rahmatNya, dan supaya kapal-kapal belayar laju dengan perintahNya,
dan juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan seterusnya
supaya kamu bersyukur.
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad)
Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya
keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang
berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab
Kami menolong orang-orang yang beriman.
Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan;
kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya,
dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari
celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang
dikehendakiNya dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira;
Maka lihatlah olehmu kepada kesan-kesan rahmat Allah, bagaimana Ia menghidupkan
bumi sesudah matinya (dengan tanaman-tanaman yang menghijau subur). Sesungguhnya
Allah yang demikian kekuasaanNya, sudah tentu berkuasa menghidupkan orang-orang
yang telah mati. Dan (ingatlah) Ia maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Dan demi sesungguhnya, jika Kami hantarkan angin (menyerang tanaman) lalu mereka
melihat tanaman itu menjadi kuning kering, nescaya mereka sesudah itu, terus
kembali kufur (tidak mengenangkan nikmat-nikmat Allah serta berputus asa).
(Maka janganlah engkau berdukacita - wahai Muhammad - terhadap keadaan mereka
yang demikian), kerana sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang
yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan
orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berpaling undur
(disebabkan keingkarannya).
Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta
(matahatinya) supaya menjauhi kesesatan mereka; engkau tidak dapat
memperdengarkan (seruanmu itu) melainkan kepada orang-orang yang sedia beriman
akan ayat-ayat keterangan Kami, kerana mereka orang-orang yang menurut perintah.
Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan
lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula
serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang
Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan bersumpah
mengatakan bahawa mereka tidak tinggal (di dalam kubur) melainkan sekadar satu
saat sahaja; demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh fahaman sesatnya dari
memperkatakan yang benar).
Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman: "Demi
sesungguhnya, kamu telah tinggal - menurut yang terkandung dalam Kitab Allah -
sampai ke hari kebangkitan (hari kiamat); maka inilah dia hari kebangkitan (yang
dijanjikan) itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui
(kebenarannya)".
Maka pada hari itu tidak berguna lagi bagi orang-orang yang zalim, sebarang
alasan yang mereka kemukakan untuk melepaskan diri, dan mereka pula tidak diberi
peluang untuk memohon keredaan Allah.
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai
kisah dan perbandingan di dalam Al-Quran ini; dan demi sesungguhnya jika engkau
membawa kepada mereka sebarang keterangan, sudah tentu orang-orang kafir itu
akan berkata: "Kamu ini tidak lain hanyalah orang-orang yang membuat dakwaan
palsu".
Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan
janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu
menjadikan engkau resah gelisah.