Alif, Laam, Miim, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran); dan apa yang
diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu adalah benar; tetapi
kebanyakan manusia tidak (mahu) beriman.
Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang
sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia
memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu
dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang
mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya
satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima
balasan).
Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya
gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari
tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga
melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu
mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.
Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan
keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta
pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya
disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari
setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian
itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu)
berfikir serta memahaminya.
Dan jika engkau merasa hairan (wahai Muhammad), maka sungguh menghairankan
perkataan mereka yang kafir itu (yang mengatakan): "Adalah apabila kami telah
menjadi tanah betulkah kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang
baharu?" Mereka itulah orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan mereka, dan
merekalah yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka; dan
merekalah juga ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
Dan mereka meminta kepadamu menyegerakan kedatangan perkara buruk (azab yang
dijanjikan) sebelum mereka memohon kebaikan; padahal sesungguhnya telah berlaku
sebelum mereka peristiwa-peristiwa azab yang telah menimpa orang-orang yang
kafir seperti mereka. dan (ingatlah) sesungguhnya Tuhanmu Amat melimpah
keampunanNya bagi manusia (yang bertaubat) terhadap kezaliman mereka, dan
sesungguhnya Tuhanmu juga amatlah keras balasan azabNya (terhadap golongan yang
tetap ingkar).
Dan berkatalah orang-orang yang kafir: "Mengapa tidak diturunkan kepada
(Muhammad) sesuatu mukjizat dari Tuhannya?" Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad)
hanyalah seorang Rasul pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), dan
tiap-tiap umat (yang telah lalu) ada Nabinya yang memimpin ke jalan yang benar.
Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa
yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih. Dan tiap-tiap
sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu.
Sama sahaja kepadaNya: sesiapa di antara kamu yang merahsiakan kata-katanya
dalam hati dan yang menyatakannya; juga yang bersembunyi pada waktu malam dan
yang keluar berjalan pada waktu siang.
Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya
dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan
perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila
Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan
kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan
apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan
melindungi mereka selain daripadaNya.
Dia lah yang memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan
petir), dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia yang menjadikan awan
tebal yang berat (dengan air).
Dan Dia lah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut
kepadaNya. Dan Dia lah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan
panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu
membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah
(dan kuat kuasaNya) Padahal Ia Amat keras azab seksanya.
Kuasa menerima ibadat yang benar adalah tertentu bagi Allah; dan benda-benda
yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak akan dapat menyahut atau
memberikan sesuatupun kepada mereka, hanyalah seperti orang yang membentangkan
kedua tapak tangannya kepada air supaya sampai ke mulutnya, padahal air itu
sudah tentu tidak akan sampai kepadanya. Dan tiadalah ibadat dan doa permohonan
orang-orang kafir itu melainkan dalam kesesatan.
Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk
menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga)
bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.
Bertanyalah (wahai Muhammad): "Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan
langit dan bumi?" Jawablah: "Allah". Bertanyalah lagi: "Kalau demikian, patutkah
kamu menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai Pelindung dan Penolong,
yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi dirinya sendiri, dan tidak
dapat menolak sesuatu bahaya?" Bertanyalah lagi: "Adakah sama, orang yang buta
dengan orang yang celik? Atau adakah sama, gelap-gelita dengan terang? Atau
adakah makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu bagi Allah itu telah mencipta
sesuatu seperti ciptaanNya, sehingga ciptaan-ciptaan itu menjadi kesamaran
kepada mereka?" Katakanlah: "Allah jualah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu,
dan Dia lah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa".
Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah
(dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya,
kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang
dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang
diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal
perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka
akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah
kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan
misal-misal perbandingan.
Bagi orang-orang yang menyahut seruan Tuhan mereka sahajalah balasan yang
sebaik-baiknya; dan orang-orang yang ingkar yang tidak menyahut seruanNya,
kalaulah mereka mempunyai segala apa jua yang ada di bumi disertai dengan
sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri dengannya. mereka itu
disediakan baginya hitungan hisab yang seburuk-buruknya, serta tempat kembali
mereka ialah neraka jahanam; dan amatlah buruknya tempat tinggal itu.
Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari
Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta
matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah
orang-orang yang berakal sempurna.
Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah
supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta
takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal
(pada hari kiamat); -
Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka
semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami
kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula
menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan
baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -
Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang
yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta
anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari
tiap-tiap pintu; -
(Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan,
disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia
dahulu.
Dan (sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah
diperteguhkannya dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya
dihubungkan, serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, -
mereka itu beroleh laknat, dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang
seburuk-buruknya.
Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang
menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia,
sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak,
kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat.
Dan orang-orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad)
satu mukjizat dari Tuhannya? "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah
menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya),
dan memberi petunjuk ke jalan ugamanya, sesiapa yang rujuk kepadaNya, -
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
Demikianlah, Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) kepada satu umat yang telah
lalu sebelumnya beberapa umat yang lain, supaya engkau membacakan kepada mereka
Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu, sedang mereka kufur kepada (Allah)
Ar-Rahman Katakanlah: "Dia lah Tuhanku, tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah tempat kembaliku
(dan kamu semuanya)".
Dan kalaulah ada mana-mana Kitab Suci yang dengan sebabnya gunung-ganang
terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah
mengeluarkan isi kandungannya, atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati
dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, maka Al-Quran ialah Kitab
Suci yang mengandungi mukjizat. (Tetapi lahirnya sesuatu mukjizat itu adalah
menurut kehendak Allah), bahkan segala urusan tertentu bagi Allah. Maka tidakkah
orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kalaulah Allah menghendaki tentulah
Ia memberi petunjuk kepada umat manusia seluruhnya, (lalu menjadikan mereka
semuanya beriman). Dan orang-orang yang kafir itu (dengan sebab kekufuran
mereka) sentiasa ditimpa bala bencana (ke atas diri atau harta benda mereka);
atau pun bala bencana itu turun menimpa tempat-tempat yang berhampiran dengan
tempat tinggal mereka (lalu menjadikan mereka gempar kecemasan), sehinggalah
datang janji Allah (hari kiamat dan azabnya); Sesungguhnya Allah tidak
memungkiri janjiNya.
Dan sesungguhnya telahpun diejek-ejekkan Rasul-rasul yang diutus sebelummu
(wahai Muhammad), lalu aku biarkan orang-orang yang tidak percayakan Rasul-rasul
itu ke suatu masa yang tertentu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab;
maka tidaklah terperi seksanya azabKu itu.
Setelah diketahui demikian maka tidaklah patut disamakan Allah Tuhan yang
berkuasa mengawas, tiap-tiap diri dan mengetahui akan apa yang telah diusahakan
oleh diri-diri itu, (dengan makhluk yang tidak bersifat demikian). Dalam pada
itu, mereka yang kafir telah menjadikan beberapa makhluk sebagai sekutu bagi
Allah. Katakanlah (wahai Muhammad): "Namakanlah kamu akan mereka (yang kamu
sembah itu). Atau adakah kamu hendak memberi tahu kepada Allah akan apa yang
tidak diketahuiNya di bumi? Atau adakah kamu menamakannya dengan kata-kata yang
lahir (sedang pada hakikatnya tidak demikian)?" Bahkan sebenarnya telah
diperhiaskan oleh Iblis bagi orang-orang yang kafir itu akan kekufuran dan tipu
daya mereka (terhadap Islam), dan mereka pula disekat oleh hawa nafsu mereka
daripada menurut jalan yang benar. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh
Allah (dengan pilihannya yang salah) maka tidak ada sesiapapun yang dapat
memberi hidayah petunjuk kepadanya.
Mereka beroleh azab dalam kehidupan dunia, dan sesungguhnya azab hari akhirat
lebih menyeksakan lagi; dan tiadalah bagi mereka, sesiapapun yang dapat
melindungi mereka dari azab Allah itu.
Sifat Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa itu ialah air
sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak
putus-putus dan naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang-orang
yang bertaqwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah neraka.
Dan orang-orang yang Kami berikan Kitab, mereka bersukacita dengan apa yang Kami
turunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan di antara beberapa kumpulan dari
orang-orang itu ada yang mengingkari sebahagiannya. Katakanlah: "Sesungguhnya
aku hanya diperintahkan supaya menyembah Allah, dan supaya aku tidak
mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain: kepadaNyalah aku menyeru (manusia
semuanya untuk menyembahNya), dan kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu
semuanya untuk menerima balasan)".
Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan
demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu
mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka
tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatupun yang dapat mengawal dan memberi
perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan Kami
jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang
kuasa bagi seseorang Rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan
izin Allah. Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya perkara dan hukum yang
telah ditentukan oleh "Suratan Azali".
Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Ia juga menetapkan apa jua
yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada "Ibu segala suratan".
Sama ada Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari azab yang
Kami janjikan untuk mereka (yang ingkar) atau kami wafatkanmu sebelum melihatnya
maka tidaklah menjadi hal kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan hukum-hukum
yang kami turunkan kepadamu; dan urusan Kami menghitung dan membalas amal
mereka.
Mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa
kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan dia
kurang sedikit demi sedikit dari kebaikannya dan kemuliaannya? Dan (ingatlah)
Allah menghukum menurut apa yang dikehendakiNya; tiada sesiapapun yang dapat
menghalang hukumNya, dan dia lah juga yang amat cepat hitungan hisabNya.
Dan sesungguhnya orang-orang kafir yang sebelum mereka telah melancarkan
rancangan jahat (terhadap Nabi-nabi mereka): oleh itu, (janganlah engkau bimbang
kerana) bagi Allah jualah kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat. Ia
mengetahui apa yang diusahakan oleh tiap-tiap diri; dan orang-orang yang kafir
akan mengetahui bagi siapakah balasan (yang baik dan yang buruk) pada hari
akhirat kelak.
Dan orang-orang yang kafir itu berkata: "Engkau bukanlah seorang Rasul dari
Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku
dengan kamu, dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan
mengenai Kitab Allah".