Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai
Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita
kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha
Kuasa lagi Maha Terpuji.
Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi; dan
kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari
azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak).
Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi
manusia dari jalan ugama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok
terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang
jauh terpesongnya.
Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya
supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi
hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang
peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan
membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah engkau
mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah
mereka dengan Hari-hari Allah. "Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi
tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat
bersabar, lagi kuat bersyukur.
Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Kenanglah nikmat Allah
kepada kamu, semasa Ia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang
sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula
menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu;
dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar
dari Tuhan kamu".
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya,
jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
Dan Nabi Musa berkata: "Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi
seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah),
kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
(Mengapa kamu masih berdegil) bukankah telah datang kepada kamu khabar berita
orang-orang yang terdahulu daripada kamu, iaitu kaum Nabi Nuh, dan Aad juga
Thamud serta orang-orang yang kemudian daripada mereka ? Tiada sesiapapun yang
mengetahui bilangan mereka melainkan Allah. Mereka telah didatangi oleh
rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, lalu mereka
meletakkan tangan mereka ke mulut mereka sambil berkata: "Sesungguhnya kami
kufur ingkarkan apa yang - mengikut dakwaan kamu - kamu diutus membawanya, dan
sesungguhnya kami adalah dalam keadaan yang meragukan terhadap iman dan tauhid
yang kamu ajak kami kepadanya".
Rasul-rasul mereka bertanya: "Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang
wujudnya Allah, yang menciptakan langit dan bumi? Ia menyeru kamu beriman kerana
hendak membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu, dan memberi tempoh
kepada kamu hingga ke suatu masa yang tertentu. Mereka menjawab: "Kamu tidak
lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada
menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah
kepada kami satu bukti yang jelas nyata".
Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka: "Kami ini tidak lain hanyalah manusia
seperti kamu juga, tetapi Allah melimpahkan kurniaNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kami tiadalah berkuasa membawa kepada
kamu sebarang bukti (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Dan dengan yang
demikian maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah
diri.
"Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Ia telah
menunjukkan jalan untuk tiap-tiap seorang dari kami menjalaninya? Dan demi
sesungguhnya, kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami.
Dan dengan yang demikian, maka kepada Allah jualah hendaknya berserah diri
orang-orang yang mahu berserah".
Dan berkatalah pula orang-orang yang kafir itu kepada Rasul-rasul mereka: "Demi
sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi
seugama dengan kami". Lalu Tuhan wahyukan, kepada Rasul-rasulNya: "Demi
sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim.
"Dan demi sesungguhnya! kami akan tempatkan kamu di negeri itu sesudah binasanya
kaum yang zalim itu; balasan baik yang demikian, adalah bagi orang-orang yang
takut akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya), dan takut akan janji-janji
azabKu".
Dan (Rasul-rasul serta umatnya yang beriman) memohon pertolongan (kepada Allah,
untuk mendapat kemenangan); dan terkecewalah tiap-tiap orang yang sombong
takbur, lagi bersikap degil (dalam keingkarannya).
Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh
tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala
arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu); dan
selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.
Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar
terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang
kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah
usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan yang jauh dari dasar
kebenaran.
Tidakkah engkau telah nampak dan mengetahui bahawa Allah telah menciptakan
langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat? Jika Ia kehendaki
nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan pula
dengan makhluk-makhluk yang baharu.
Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun mengadap Allah (untuk dihisab pada hari
kiamat); kemudian orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada
orang-orang yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi
pemimpinnya): "Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut kamu; maka adakah kamu
dapat menolak daripada kami sedikit dari azab Allah? " Mereka menjawab:
"Kalaulah Allah menunjukkan jalan selamat kepada kami, tentulah kami tunjukkan
jalan itu kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada kita
menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita
untuk melepaskan diri (dari azab itu)".
Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: "Sesungguhnya Allah
telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu
lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan
dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu
terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi
salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga
tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur
ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya". Sesungguhnya
orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh
azab yang tidak terperi sakitnya.
Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ke dalam
Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di
dalamnya dengan izin Tuhan mereka; ucapan selamat sentiasa mereka dapati (dari
malaikat) di dalam Syurga-syurga itu.
Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu
perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik,
yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke
langit.
Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah
mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat
(mendapat pelajaran).
Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang
tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak
baginya untuk tetap hidup.
Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap
teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang
berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa
yang dikehendakiNya.
Tidakkah engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang-orang kafir yang telah
menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran, dan yang telah menempatkan
kaum mereka dalam kebinasaan?
Dan mereka mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan manusia dari
jalanNya. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara
di dunia), kerana sesungguhnya kesudahan kamu ke neraka".
Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang beriman hendaklah mereka mendirikan
sembahyang dan mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, sama ada
dengan merahsiakan pemberiannya itu atau dengan terbuka; sebelum datangnya hari
yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada sahabat handai (yang dapat
memberikan pertolongan).
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit
lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi
kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk
belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk
kamu (mengambil manfaat darinya).
Dan Ia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk
kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah
hidup kamu.
Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu
hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan
bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu
pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku!
jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan
anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.
Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat
manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku)
maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan
menyalahi ugamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat
keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di
sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka
ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya
dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar
kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki
kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka
bersyukur.
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan
dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang
tersembunyi kepada Allah!
"Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku
tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa
permohonan.
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah
juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
"Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi
orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan"
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang
dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan
mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka,
(kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).
(Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar)
sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka
tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).
Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka
lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat
itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: "Wahai Tuhan
kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke
suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu (untuk mengesakanMu dan
mentaati perintahMu), dan supaya kami menurut ugama yang disampaikan oleh
Rasul-rasul itu". Dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada
mereka): "Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan
bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu dalam dunia) dahulu, bahawa keadaan
kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan?
"Padahal kamu telah mendiami tempat-tempat tinggal orang-orang yang berlaku
zalim kepada diri mereka sendiri, serta telah ternyata kepada kamu dengan
bukti-buKti yang jelas bagaimana Kami telah mengubah keadaan mereka (dengan
menimpakan mereka berbagai bencana), dan Kami pula telah nyatakan kepada kamu
berbagai contoh perbandingan (di dalam Al-Quran dan melalui sabda Rasul)".
Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk
menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka,
walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun.
Oleh itu, janganlah engkau menyangka Allah memungkiri janjiNya kepada
Rasul-rasulNya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Sedia Membalas (orang-orang
yang menderhaka kepadaNya).
(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit;
dan manusia semuanya keluar berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha
Kuasa.
(Keluarnya manusia dari kubur masing-masing itu ialah) kerana Allah akan
membalas tiap-tiap seorang apa yang ia telah usahakan; sesungguhnya Allah amat
cepat hitungan hisabNya.
(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi
nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujjah-hujjah yang
tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan
supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf.