Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu
menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita
rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada
di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap
kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan
Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah)
disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat
demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari
keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra
dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu
rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu
yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari
jalan yang betul.
Jika mereka dapat menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan
kamu, dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu
dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti
mereka).
Kaum kerabat kamu dan anak-anak kamu (yang tidak menurut kamu beriman) tidak
sekali-kali akan mendatangkan sebarang faedah kepada kamu pada hari kiamat;
Allah akan memisahkan di antara kamu semua (pada hari itu). Dan (ingatlah),
Allah Maha Melihat segala yang kamu kerjakan.
Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan
pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada
kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan
daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala
penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di
antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah
semata-mata", tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya
(katanya): "Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak
berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu".
(Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan
pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan
berkata): "Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan
kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat
kembali!
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami
terpesong kerana penindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai
Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim dan
pengikut-pengikutnya itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa
mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Dan sesiapa yang
berpaling daripada mencontohi mereka, (maka padahnya akan menimpa dirinya
sendiri), kerana sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan
orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan
mereka insaf dan memeluk Islam). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas
tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada
orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berlaku adil.
Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat
orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari
kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan
(ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim.
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku
beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih
mengetahui akan iman mereka: dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui
bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada
orang-orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai
isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami).
Dan berilah kepada suami-suami (yang kafir) itu apa yang mereka telah
belanjakan. Dan tidaklah menjadi salah kamu berkahwin dengan mereka
(perempuan-perempuan yang berhijrah itu) apabila kamu memberi kepada mereka
maskahwinnya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang Islam) tetap berpegang
kepada akad perkahwinan kamu dengan perempuan-perempuan yang (kekal dalam
keadaan) kafir, dan mintalah balik maskahwin yang kamu telah berikan, dan
biarkanlah mereka (suami-suami yang kafir itu) meminta balik apa yang mereka
telah belanjakan. Demikianlah hukum Allah; Ia hukumkan di antara kamu (dengan
adil). Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Dan sekiranya kamu tidak dapat menerima balik sesuatu dari maskahwin
isteri-isteri kamu (yang menjadi murtad serta) melarikan diri ke pihak
orang-orang kafir, kemudian kamu menyerang puak yang kafir itu serta mendapat
harta rampasan maka berikanlah kepada orang-orang (Islam) yang lari isterinya
itu ganti maskahwinnya sebanyak yang mereka telah bayar. Dan bertaqwalah kamu
kepada Allah yang kamu beriman kepadaNya.
Wahai Nabi! Apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk
memberi pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada
Allah dengan sesuatu pun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan
berzina, dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya, dan mereka tidak akan
melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati
mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang
baik, - maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah
mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan teman rapat mana-mana
kaum yang dimurkai Allah, mereka telah berputus asa daripada mendapat kebaikan
akhirat, sebagaimana berputus asanya orang-orang kafir yang ada di dalam kubur.