Segala puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad),
Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok
(terpesong):
(Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk
memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang
seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang
yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh
balasan yang baik.
(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada
juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari
mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.
Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan
menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka
enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.
Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan
baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih
baik amalnya.
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan
"Ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan
kekuasaan Kami?
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu
mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan
berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama
kami".
Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah
dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya
mereka hidup (dalam gua itu).
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar;
sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan
kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka
bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta
dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan
yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami
memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."
(Mereka berkata pula sesama sendiri): "Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan
yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang
membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka
tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang
yang berdusta terhadap Allah.
Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang
mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu,
supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan
kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan
yang berguna".
Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua
mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka
berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang
membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah,
maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya
maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat
menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.
Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan
mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka
menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka,
tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau
akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.
Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka
bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: "Berapa
lama kamu tidur?" (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama
sehari atau sebahagian dari sehari". (Sebahagian lagi dari) mereka berkata:
"Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah
salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah
dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang
dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan
daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa
di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun
menyedari akan hal kamu.
"Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam
dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka
(secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya
selama-lamanya".
Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang
itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar,
dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu
berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara
hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata:
"Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui
akan hal ehwal mereka". orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak
raja) pula berkata: "Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua
mereka".
(Sebahagian dari) mereka akan berkata: "Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang,
yang keempatnya ialah anjing mereka "; dan setengahnya pula berkata:"Bilangan
mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka" - secara meraba-raba
dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain
berkata: "Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing
mereka". Katakanlah (wahai Muhammad): "Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan
mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit". Oleh itu,
janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan
bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan
janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari
golongan (yang membincangkannya).
Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah
serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan
Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari
ini".
Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka
tidur; bagiNya lah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi;
terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk
langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Ia tidak menjadikan sesiapapun
masuk campur dalam hukumNya.
Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada
sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali
akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya.
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang
beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan
keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu
daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan
janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada
mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa
nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan
kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang
mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya". Kerana Kami telah menyediakan
bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana
khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi
pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah
buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat
bersenang-senang.
Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas,
dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam;
mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang
berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga
tempat berehat yang semolek-moleknya.
Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi
salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi
kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya,
jenis-jenis tanaman yang lain.
Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari
hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.
Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada
rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu,
dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai".
Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim
kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: "Aku tidak
fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.
Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan
kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat
kembali yang lebih baik daripada ini.
berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: "Patutkah engkau
kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air
benih, kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?
Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang
yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan
Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak,
berbanding denganmu,
Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu,
dan (aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit,
sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.
Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia
membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala
perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun
itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: "Alangkah baiknya
kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!"
Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi
Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan
sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).
Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah
seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di
bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu;
kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal
soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala
balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.
Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan
melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di padang
Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.
Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil
dikatakan kepada mereka): "Kamu sekarang telah datang kepada Kami -
(berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu
dahulu menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu
(untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan)".
Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat
orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya;
dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian
keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua
dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis
di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah
kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari
golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah
kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang
menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu.
Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.
Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi,
dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang
lain; dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu
sebagai pembantu.
Dan (ingatkanlah) masa Allah berfirman: "Panggilah sekutu-sekutuKu yang kamu
katakan itu (untuk menolong kamu); lalu mereka memanggilnya, tetapi sia-sia
sahaja, kerana makhluk-makhluk itu tidak menyahut seruan mereka: dan kami
jadikan untuk mereka bersama sebuah tempat azab yang membinasakan.
Dan orang-orang yang berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka yakinlah
mereka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati
sebarang jalan untuk mengelakkan diri daripadanya.
Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam
Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan
sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.
Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk
Al-Quran kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka,
melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab
yang memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau di datangi azab
yang dilihat dan dihadapi.
Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira
dan pemberi amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang
salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan
ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan.
Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan
ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah
dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang
buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang
mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat
(yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk,
maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah
petunjuk selama-lamanya.
Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatnya. Jika Ia mahu
menyeksa mereka (di dunia) disebabkan apa yang mereka telah usahakan, tentulah
Ia akan menyegerakan azab itu menimpa mereka; (tetapi Ia tidak berbuat demikian)
bahkan ditentukan bagi mereka satu masa yang mereka tidak sekali-kali akan dapat
sebarang tempat perlindungan, yang ialah daripadanya.
Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka
melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi
kebinasaan mereka.
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: "Aku tidak
akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau
aku berjalan terus bertahun-tahun".
Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah
mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di
laut, yang merupakan lorong di bawah tanah.
Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya:
"Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah
dalam perjalanan kita ini".
Temannya berkata: "Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu
besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan
aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan; dan ikan itu
telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan".
Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan
kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi
Kami.
Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau
mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi
petunjuk bagiku?"
Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia
membocorkannya. Nabi Musa berkata: "Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat
perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah
melakukan satu perkara yang besar".
Nabi Musa berkata: "Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan
syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam
urusanku (menuntut ilmu)".
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang
pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata "Patutkah engkau membunuh satu
jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah
melakukan satu perbuatan yang mungkar!"
Nabi Musa berkata: "Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah
ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau
telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan
pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku".
Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk
sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang
itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang
hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: "Jika engkau mahu,
tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!"
Ia menjawab: "Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan
kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat
bersabar mengenainya.
Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di
laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di
belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu
yang tidak cacat.
Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami
bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.
Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak
yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih
sayangnya.
Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar
itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula
adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan
dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari
Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku
sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang
engkau tidak dapat bersabar mengenainya".
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah:
"Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit
tentang perihalnya":
Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan
Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.
Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam
di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang
kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): "Wahai
Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau
bertindak secara baik terhadap mereka".
Ia berkata: "Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami
akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu
diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.
Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang
sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang
tidak memberati".
Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit
kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan
daripadanya.
Mereka berkata: "wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa
melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan
sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau
membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"
Dia menjawab: "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya,
lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu
beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup
yang kukuh.
Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas
tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, ddia pun perintahkan mereka
membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia
menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair
supaya aku tuangkan atasnya".
(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam
pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur
lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar".
Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur
antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu
Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.
(Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda
yang membawa kepada mengingatiKu, dan mereka pula tidak dapat mendengar sama
sekali.
Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu
sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka?
Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu
sebagai tempat tetamu.
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini,
sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja
yang mereka lakukan".
Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan
pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami
tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari
kiamat kelak.
(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka
kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai
ejek-ejekan.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk
menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu
sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan
yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti
kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu,
sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia
mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam
ibadatnya kepada Tuhannya".