Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan
sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan
bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi
suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa
bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa
bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal
kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.
Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi
Rasulullah (s.a.w), - merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati
mereka untuk bertaqwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu,
wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib).
Dan kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga engkau keluar menemui mereka,
tentulah cara yang demikian lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa
sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu
tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab
kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu
telah lakukan.
Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah
kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut
kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran;
akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan
kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana)
Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya
dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan
derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian
ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; -
(Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat
pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana.
Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di
antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka
lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika
ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum
Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di
antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah
supaya kamu beroleh rahmat.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki)
mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari
kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,
(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan
janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah
pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang
buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya
menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang)
sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada
perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu
tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari
sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari
kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya
yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah
mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.
(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu
kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak,
supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di
antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan
kamu).
Orang-orang " A'raab" berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (wahai
Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara
iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah
Islam '. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin),
Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang
percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak
ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada
jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).
Katakanlah (kepada orang-orang "A'raab" itu wahai Muhammad): "Patutkah kamu
hendak memberitahu kepada Allah tentang ugama kamu (dengan berkata: ` kami telah
beriman ')? Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di
bumi, dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".
Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka
telah Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka):
"Janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan
(kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak
membangkit-bangkitkan budiNya kepada kamu, kerana Dia lah yang memimpin kamu
kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar
(pengakuan imannya).