Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar),
sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang
disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)?
Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani
yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap
mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia
berkeadaan mendengar dan melihat.
Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan
kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah;
maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat),
ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).
(Dalam pada itu), sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku
kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang
menjulang-julang.
Iaitu sebuah matair (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah
(yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka)
dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya.
(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya
(apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari
(akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.
(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan
kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan
dari kamu atau ucapan terima kasih,
Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka
dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka
keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati).
Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan
laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari)
sutera.
Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang
berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya),
dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk;
Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya): bijana dari
perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya)
-
Dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan
mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka; apabila engkau melihat
anak-anak muda itu, nescaya engkau menyangkanya mutiara yang bertaburan.
Dan apabila engkau melihat di sana (dalam Syurga itu), engkau melihat nikmat
yang melimpah-limpah dan kerajaan yang besar (yang tidak ada bandingannya).
Mereka di dalam Syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus
dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang
tangan dari perak; dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis
minuman (yang lain) yang bersih suci.
(Serta dikatakan kepada mereka): "Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah
untuk kamu sebagai balasan, dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu)
diterima dan dihargai (oleh Allah)".
Oleh itu hendaklah engkau bersabar menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada
golongan yang menentangmu), dan janganlah engkau menurut kehendak orang yang
berdosa di antara mereka, atau orang yang kufur ingkar.
Dan (dengan apa keadaan pun maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah
kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang), dan (seboleh-bolehnya)
bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian
yang panjang dari waktu malam.
Sesungguhnya orang-orang (yang menentangmu) itu sentiasa mencintai (kesenangan
dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya, serta mereka membelakangkan (tidak
menghiraukan bekalan) untuk hari akhirat yang amat berat (penderitaannya kepada
orang-orang yang tidak bertaqwa).
Kamilah yang menciptakan mereka serta menguatkan tulang sendi dan urat saraf
mereka; (Kami berkuasa membinasakan mereka) dan apabila Kami kehendaki, Kami
gantikan (mereka dengan) orang-orang yang serupa dengan mereka, dengan
penggantian yang sebaik-baiknya.
Sesungguhnya (segala keterangan yang disebutkan) ini, menjadi peringatan; maka
sesiapa yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan yang
menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat).
Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara
yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya).
Ia memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditetapkan) ke
dalam rahmatNya (dengan ditempatkannya di dalam Syurga); dan orang-orang yang
zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.