Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata:
"Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau - sebenar-benarnya Rasul Allah". Dan
Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah
menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.
Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan
dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka
menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya
amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.
(Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan
orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab
itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana
benar dan yang mana salah).
Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan
mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkaujuga (tertarik
hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka
adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak
ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah,
sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh
rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh
yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah
membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana
mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya - dari kebenaran)?
Dan apabila dikatakan kepada mereka: " Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah
meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu", mereka (enggan sambil)
menggeleng-gelengkan kepalanya; dan engkau melihat mereka berpaling (dari
bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.
(Tidak ada faedahnya) kepada mereka, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka
atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan
mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang
fasik.
Merekalah yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong
Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): "Janganlah kamu membelanjakan harta kamu
kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai
(meninggalkannya)". Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi,
(tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan
dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang yang munafik itu tidak memahami
(hakikat yang sebenarnya).
Mereka berkata lagi: " Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari
medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan
mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)".
Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta
bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak
mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta
benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan
perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka
itulah orang-orang yang rugi.
Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada
kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka
ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya
kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit
sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari
orang-orang yang soleh ".
Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang
(atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam
PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.