Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan umatmu) - hendak menceraikan
isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan
idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada
Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah
kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka
keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.
Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan
sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah
berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak
mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang
lain).
Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu
pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara
yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu
merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi)
menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang
tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan
mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan
mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan
(Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah
baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap
melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar
dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid,
jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga
bulan; dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan
perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan
anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah,
nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.
Peraturan-peraturan yang demikian adalah hukum-hukum Allah yang diturunkan dan
diterangkanNya kepada kamu; dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah,
nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan membesarkan pahala
balasannya.
Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu
sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti
mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka
(supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan
sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka
melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk
kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu
(dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari
kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.
Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang
di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan
Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan
(sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam
kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah
berlakunya kesusahan.
Dan bukan sedikit negeri-negeri yang penduduknya menderhaka terhadap perintah
Tuhan mereka dan Rasul-rasulNya, maka Kami hitung amal mereka satu persatu
dengan hitungan yang keras rapi, serta Kami seksakan mereka dengan azab yang
tidak pernah dikenal dahsyatnya.
Allah menyediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya. Maka bertaqwalah
kepada Allah kepada wahai orang yang berakal sempurna dari kalangan orang yang
beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu peringatan -
(Dengan mengutuskan) seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) yang membacakan kepada
kamu ayat-ayat Allah yang menerangkan kebenaran, supaya Allah mengeluarkan
orang-orang (yang sedia diketahuiNya akan) beriman dan beramal soleh - dari
gelap-gelita (kesesatan) kepada cahaya (hidayah petunjuk). Dan (ingatlah),
sesiapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, akan dimasukkan oleh Allah
ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di
dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah (dengan yang demikian) telah
mengurniakan kepadanya sebaik-baik pemberian.
Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti
itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi.
(Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi
ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu.