Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang
-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku -
tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.
Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan
tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul;
oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.
(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya):"Wahai Zakaria! Sesungguhnya
Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak
lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun
yang senama dengannya".
Nabi Zakaria bertanya: "Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh
seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sendiri pula
telah sampai had umur yang setua-tuanya?"
Penyeru itu menjawab: Demikian keadaannya - janganlah dihairankan; Tuhanmu
berfirman; "Hal itu mudah bagiKu kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu
dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang apapun."
Nabi Zakaria merayu lagi: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah satu tanda bagiku (yang
menunjukkan isteriku mengandung)", Allah Taala berfirman: " Tandamu itu ialah
engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam,
sedang engkau dalam keadaan sihat".
Maka dia pun keluar mendapatkan kaumnya dari Mihrab (tempat sembahyangnya), lalu
ia memberi isyarat kepada mereka: "Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan ibadat
kepada Allah) pagi dan petang".
"Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh!
Dan Kami berikan kepadanya Hikmat kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak.
Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari ia diperanakkan, dan
pada hari ia mati, serta pada hari ia dibangkitkan hidup semula (pada hari
kiamat).
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam,
ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.
Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami
hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai
seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.
Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak
lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula
bukan perempuan jahat?"
Ia menjawab: "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman:
Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu
tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu
rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan
berlakunya.
(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar)
ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku
mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak
dikenang-kenang!
Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:" Janganlah engkau berdukacita (wahai
Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.
"Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang
merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah:
Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku
menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun
dari kalangan manusia pada hari ini".
Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun
menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan
suatu perkara yang besar salahnya!
Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya):
"Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam
buaian?"
Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan
diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.
Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku
diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup
semula (pada hari kiamat)".
Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut
ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan
padanya.
Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia. Apabila menetapkan
jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Ia berfirman kepadanya: "Jadilah engkau",
lalu menjadilah ia.
Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka
kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang
disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.
Sungguh jelas pendengaran dan penglihatan mereka yang kafir itu semasa mereka
datang mengadap Kami pada hari akhirat. Tetapi orang-orang yang zalim (dengan
perbuatan kufur dan maksiat) pada masa di dunia ini, berada dalam kesesatan yang
nyata
Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari
penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa
mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak
mahu beriman.
Ketika ia berkata kepada bapanya:" Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda
yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?
" Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang
tidak pernah datang kepadamu oleh itu ikutlah daku; aku akan memimpinmu ke jalan
yang betul.
" Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah)
Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan
menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka".
(Bapanya) menjawab: "Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi
sesungguhnya jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku
sudah tentu aku akan meluntarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau
tinggalkan daku sepanjang masa".
Nabi Ibrahim berkata: " Selamat tinggalah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku
mengampuni dosamu; sesungguhnya Ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya
kepadaku.
Dan aku akan membawa diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah
yang lain dari Allah; dan aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas;
mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan
derhaka seperti kamu)".
Maka apabila ia berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah yang
lain dari Allah kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya);
dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi.
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa;
sesungguhnya ia adalah orang pilihan, dan adalah ia seorang Rasul, lagi Nabi.
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi
Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul,
lagi berpangkat Nabi.
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi
Idris; sesungguhnya adalah ia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta ia
seorang Nabi.
Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang
melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan
orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari
keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari
orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan
kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.
Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang
serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi
azab (dalam neraka),
Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka
itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun, -
(Iaitu) Syurga " Adn " yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada
hamba-hambaNya disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib;
sesungguhnya Tuhan itu, janjiNya tetap berlaku.
Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia tetapi mereka
sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik; dan makan minum untuk mereka
disediakan di dalamnya, pagi dan petang (sepanjang masa).
Dan (berkatalah malaikat): "Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan
dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad); Dia lah jua yang menguasai serta
mentadbirkan apa yang di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa
yang di antara itu; dan tiadalah Tuhanmu itu lupa, -
"Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di
antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan
tekun tetap dalam beribadat kepadaNya; adakah engkau mengetahui sesiapapun yang
senama dan sebanding denganNya?"
Oleh itu, demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka
yang kafir itu beserta syaitan-syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan
bawa mereka duduk berlutut di keliling neraka Jahannam.
Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang
demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh
Tuhanmu.
Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan
orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di
dalam neraka itu.
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah
orang-orang yang kafir kepada orang-orang yang beriman: "Puak yang manakah (dari
kami dan kamu) yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih elok majlis
perhimpunannya?
Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) sebelum mereka, kami telah binasakan,
sedang mereka lebih elok alat-alat kesenangannya dan lebih elok keadaannya pada
pandangan mata.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka
biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga
apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, - sama ada azab
sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui
siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah
penyokong-penyokongnya."
Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan
petunjuk; dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih
baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.
Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan (wahai Muhammad), akan orang yang
kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami serta ia berkata: "Demi
sesungguhnya aku akan diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari
akhirat?"
Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai
tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong
yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.