Dan (telah menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan mukjizat-mukjizat
yang dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara tetap
(menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah).
Dan sesungguhnya! Telah sampai kepada mereka (dengan perantaraan Al-Quran),
sebahagian dari kisah-kisah dan berita (umat-umat yang telah lalu), yang
mengandungi perkara-perkara yang cukup untuk mencegah mereka (dari perbuatan
kufur itu).
(Yang demikian ialah) pengajaran yang cukup sempurna; dalam pada itu, segala
peringatan dan amaran tidak akan mendatangkan faedah (kepada mereka yang
ingkar).
Oleh itu, berpalinglah dari mereka (wahai Muhammad dan janganlah dihiraukan).
(Ingatlah) masa (malaikat) penyeru menyeru (mereka pada hari kiamat) kepada
perkara yang tidak diingini (oleh orang yang bersalah);
Masing-masing dengan cepatnya menuju kepada penyeru itu. (Pada saat yang
demikian), orang-orang yang kafir berkata: Hari ini ialah hari yang amat sukar!
Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh juga telah mendustakan (Rasulnya); iaitu mereka
mendustakan hamba Kami (Nabi Nuh) serta mereka menuduhnya dengan berkata: Dia
seorang gila dan dia telah diancam (dan dihalang daripada menjalankan dakwah
agama).
Lalu dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ini
dikalahkan (oleh kaumku yang ingkar), oleh itu menangkanlah daku (terhadap
mereka)!
Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu
bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah
ditetapkan.
Yang belayar laju dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami; (Kami melakukan yang
demikian dan menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur
ingkar!
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan
pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran
(daripadanya)?
(Demikian juga) kaum Aad telah mendustakan Rasulnya (lalu mereka dibinasakan);
maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabku dan kesan amaran-amaranKu!
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan
pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran
(daripadanya)?
Lalu mereka berkata: Patutkah kita menurut manusia dari jenis kita, lagi yang
berseorangan? Jika demikian, sesungguhnya kita berada dalam keadaan sesat dan
gila!
Tidaklah patut wahyu peringatan itu diturunkan kepadanya (padahal orang-orang
yang lebih layak ada) di antara kita. Bahkan dialah seorang pendusta, lagi
sombong angkuh.
Sesungguhnya Kami menghantarkan unta betina (yang menjadi mukjizat) sebagai satu
ujian bagi mereka. Lalu (Kami perintahkan Rasul Kami): Tunggulah (apakah yang
mereka akan lakukan) serta bersabarlah (terhadap tentangan mereka).
Dan khabarkanlah kepada mereka, bahawa sesungguhnya air (telaga mereka)
terbahagi di antara mereka dengan unta itu, tiap-tiap bahagian air itu dihadiri
oleh yang berhak mengambilnya (pada hari gilirannya).
(Mereka selepas itu merasa bosan dengan keadaan unta itu dan berkira hendak
membunuhnya), lalu mereka memanggil kawan mereka (yang sanggup membunuhnya), dia
pun bertindak sampai dapat membunuhnya.
Sesungguhnya Kami hantarkan kepada mereka satu pekikan (yang dahsyat), lalu
menjadilah mereka (hancur) seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah
hancur, yang dikumpulkan oleh pemilik kandang binatang ternak.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan
pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran
(daripadanya)?
Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani
mereka dengan batu, kecuali keluarga Nabi Lut, Kami selamatkan mereka (dengan
menyuruh mereka keluar dari situ) pada waktu jauh malam,
Dan demi sesungguhnya! Nabi Lut telah memberi amaran kepada mereka mengenai azab
seksa Kami; dalam pada itu, mereka tetap mendustakan amaran-amaran itu.
Dan demi sesungguhnya! Mereka telah memujuk Nabi Lut mengenai tetamunya, lalu
Kami hapuskan biji mata mereka, serta (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu
dan kesan amaran-amaranKu!
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan
pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran
(daripadanya)?
Mereka telah mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya, lalu Kami timpakan
azab seksa kepada mereka sebagai seksaan dari Yang Maha Perkasa, lagi Maha
Kuasa.
Adakah orang-orang kafir kamu (wahai kaum musyrik Mekah), lebih baik (kekuatan,
kekayaan dan kehandalannya) daripada kaum-kaum kafir yang tersebut itu? Atau
adakah kamu mempunyai sebarang bukti dalam Kitab-kitab Suci tentang kebebasan
kamu (dari azab)?
(Mereka tidak mempunyai sebarang bukti) bahkan mereka akan berkata (dengan
angkuhnya): Kami satu kaum yang bersatu, yang sudah tentu dapat membela diri!
(Bukan kekalahan itu sahaja) bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan
kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya) dan (azab seksa)
hari kiamat itu amat dahsyat dan amat pahit.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan orang-orang yang sama keadaannya
seperti kamu; maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran?