Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak
orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah
menurut adat resam Jahiliyah); sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan
mendalam akan apa yang kamu lakukan.
(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan
seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan
isteri-isteri yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak
menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu
dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu
dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia
lah jua yang memimpin ke jalan yang betul.
Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka
sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu
tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara
kamu yang seugama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira
berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira
berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan
(ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman
daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka.
Dan orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak
(mewarisi) akan setengahnya yang lain - menurut (hukum) Kitab Allah - daripada
orang-orang yang beriman dan orang-orang Muhajirin (yang bukan kerabatnya),
kecuali kalau kamu hendak berbuat baik kepada sahabat-sahabat karib kamu. Hukum
yang demikian itu adalah tertulis dalam Kitab Allah.
(Teruslah bertaqwa kepada Kami) dan (ingatlah) ketika Kami mengambil dari
Nabi-nabi (umumnya): perjanjian setia mereka, dan (khasnya) dari engkau sendiri
(wahai Muhammad), dan dari Nabi Nuh, dan Nabi Ibrahim, dan Nabi Musa, serta.
Nabi Isa ibni Maryam; dan Kami telah mengambil dari mereka: perjanjian setia
yang teguh (bagi menyempurnakan apa yang ditugaskan kepada mereka);
(Tuhan berbuat demikian) supaya Ia menyoal orang-orang yang benar beriman
tentang kebenaran iman mereka (untuk menyempurnakan balasan baik mereka); dan
(sebaliknya) Ia telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir, azab seksa yang
tidak terperi sakitnya.
Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya
kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan
kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat)
yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang
kamu lakukan.
Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan
dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan
mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun
resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka
terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.
Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak
sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: "Allah dan RasulNya tidak
menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja".
Dan juga masa itu ialah masa segolongan di antara mereka berkata: "Wahai
penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini),
oleh itu baliklah". Dan sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi
(hendak balik) sambil berkata: "Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan
perlindungan", pada hal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan
hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam).
Dan kalaulah tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala
penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam, sudah tentu
mereka akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi tentang itu melainkan
sebentar sahaja.
Pada hal sesungguhnya mereka telahpun mengikat janji dengan Allah sebelum itu,
iaitu mereka tidak akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri).
Dan (ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang
penyempurnaannya).
Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau
dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan
faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka
kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja".
Katakanlah: "Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia
mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau (siapakah yang dapat menahan
kemurahan Allah) jika Ia hendak memberikan rahmat kepada kamu? " Dan
(ingatkanlah) mereka (yang munafik) itu: bahawa mereka tidak akan beroleh
sesiapapun - yang lain dari Allah - yang akan menjadi pelindung atau penolong
mereka.
Sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang (munafik) yang menghalangi di
antara kamu, dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: "Marilah
bersatu dengan kami", sedang mereka tidak turut berperang melainkan sebentar
sahaja.
Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang-orang mukmin untuk
memberikan sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh
yang menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai
Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti
orang yang pengsan semasa hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut
itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil mereka tamakan kebaikan
(yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman, lalu Allah
gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah
melaksanakannya.
Mereka menyangka bahawa tentera "Al-Ahzaab" itu belum pergi; dan kalaulah
tentera Al-Ahzaab datang semula, tentulah mereka suka kalau mereka tinggal jauh
di desa-desa bersama-sama orang-orang Arab Badwi sambil bertanyakan berita
mengenai kamu; dan kalaulah mereka ada bersama-sama kamu (pada ketika itu),
mereka tidak akan turut berperang melainkan sebentar sahaja.
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang
baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan
baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak
(dalam masa susah dan senang)
Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah
mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan
benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera
musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain
daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.
Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa
yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di
antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur
syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak
mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.
(Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar
disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Ia
kehendaki, atau Ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu
(ke tempat masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan
hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan
orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah)
adalah Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
Dan Ia menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh
itu, dari benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikanNya hati
mereka dengan perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman);
sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan.
Dan Ia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda
mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu
menjejaknya. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan
kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya
aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu
dengan cara yang sebaik-baiknya.
"Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat
kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi
orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar".
Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu
perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali
ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.
Dan sesiapa di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta
mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua
kali ganda, dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia.
Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang
lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan
lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh
menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan
buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai
dan sopan).
Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan
diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan
dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan
RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah
kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai
"AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara
yang keji).
Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat
Allah (Al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah). Sesungguhnya
Allah Maha Halus tadbirNya, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang
Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang
beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat,
dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan
orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan
orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan
yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta
orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa
serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang
memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara
kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak
serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah
menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila
Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah
harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.
Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia
telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah
dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat
baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah",
sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya;
dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak
engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis
kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau
dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk
berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat
itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya).
Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.
Tidaklah ada sebarang keberatan yang ditanggung oleh Nabi dalam melaksanakan
perkara yang telah ditetapkan Allah baginya. (Yang demikian itu) adalah menurut
peraturan Allah yang tetap, yang berlaku juga kepada Nabi-nabi yang telah lalu.
Dan (ingatlah) perintah Allah itu adalah satu ketetapan yang ditentukan
berlakunya.
(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat
Allah serta mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut
kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung
(segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).
Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang
sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan
kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu.
Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta
sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;
Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu - dan malaikatNya pula (berdoa bagi
kamu) - untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada
cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa
Melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di
akhirat).
Sambutan penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuiNya
ialah ucapan "Salam" (selamat sejahtera); dan Ia telah menyediakan untuk mereka
pahala balasan yang mulia.
Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan
pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran
(kepada orang-orang yang ingkar).
Dan (dengan itu) sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang
beriman, bahawa sesungguhnya mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari
Allah.
Dan janganlah engkau menurut kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik
dan janganlah engkau hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada
Allah (memelihara keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang
menyelamatkanmu).
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan
perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu
menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah
yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah "mut'ah" (pemberian sagu
hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.
Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau
berikan maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang
telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah
halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan
bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu
(dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu)
serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah
bersama-sama denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang
beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak
membayar maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang
demikian adalah khas bagimu semata-mata, buka bagi orang-orang yang beriman
umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada
orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang
mereka miliki; - supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah
adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Engkau boleh menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka dan engkau
boleh mendamping: sesiapa yang engkau kehendaki; dan sesiapa yang engkau hendak
mendampinginya kembali dari mereka yang telah engkau jauhi itu maka tidaklah
menjadi salah bagimu melakukannya; kebebasan yang diberikan kepadamu itu (bila
diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, dan
menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka pula reda akan apa
yang engkau lakukan kepada mereka semuanya. Dan (ingatlah) Allah sedia
mengetahui apa yang ada dalam hati kamu; dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi
Maha Penyabar.
Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah
(isteri-isterimu yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka
dengan isteri-isteri yang baharu sekalipun engkau tertarik hati kepada
kecantikan mereka, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan
(ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu.
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu
makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk
menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila
kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu
makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang
dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan
Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang
Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu meminta sesuatu
yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari
sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan
kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin
dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala
yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah.
(Awasilah keadaan-keadaan kamu, kerana) jika kamu nyatakan sesuatu atau kamu
sembunyikan dia, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan
segala-galanya.
Tidak ada salahnya kepada perempuan-perempuan (yang tidak berpakaian yang
melindungi anggota yang haram dipandang oleh lelaki asing itu) menemui bapa-bapa
mereka, dan anak-anak lelaki mereka, dan saudara-saudara lelaki mereka, dan
anak-anak lelaki saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak lelaki
saudara-saudara perempuan mereka, dan perempuan-perempuan Islam mereka, serta
hamba-hamba yang dimiliki oleh mereka. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah;
sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan
kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman
berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan
penghormatan yang sepenuhnya.
Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan
RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan
untuk mereka azab seksa yang menghina.
Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman
dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang
tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka
telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta
perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup
seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk
mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak
diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Demi sesungguhnya, jika orang-orang munafik, dan orang-orang yang ada penyakit
(syak ragu-ragu) dalam hatinya, serta orang-orang yang menyebarkan berita-berita
dusta di Madinah itu tidak berhenti (dari perbuatan jahat masing-masing),
nescaya Kami akan mendesakmu memerangi mereka; sesudah itu mereka tidak akan
tinggal berjiran denganmu di Madinah lagi melainkan sebentar sahaja,
Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah yang
telah lalu; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi
"Sunnatullah" itu.
Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat;
katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah. "
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? - boleh jadi masa datangnya tidak lama
lagi.
Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan
sesalnya): "Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada
Allah serta taat kepada Rasul Allah.
Dan mereka berkata lagi: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi
kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami
dari jalan yang benar.
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang
(Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala
cacian yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.
Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan
dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka
sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.
Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan
bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan
bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan
untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada
padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia
adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak
patut dikerjakan.
(Dengan kesanggupan manusia memikul amanah itu maka) akibatnya Allah akan
menyeksa orang-orang lelaki yang munafik serta orang-orang perempuan yang
munafik, dan orang-orang lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan yang
musyrik; dan juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman
serta orang-orang perempuan yang beriman. Dan sememangnya Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.