Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi
kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu
daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.
Sebelum (Al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Ia juga
yang menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang
salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan
Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha
Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).
Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang
dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran.
Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap,
tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah
ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat
"Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu
(timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun
orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka
selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan
mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal
tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan
Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam
ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari
sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan
orang-orang yang berfikiran.
(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan
hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami
limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah
pemberianNya.
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian
manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada
syak padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.
Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak
sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun;
dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.
(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan
orang-orang yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan
Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah),
Allah Maha berat azab seksaNya.
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan
(di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam,
dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan".
Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan
yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang
pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari
golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan
pandangan mata biasa - dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan
Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan
pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang
memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang
diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang
banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi
terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu
ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat
kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang
lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa
disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya
sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/
isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". Dan
(ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;
(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya
kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami
dari azab neraka";
(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan
orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa
taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada
jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu
sahur.
Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti),
bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa
mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta
orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada
Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan
orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih
(mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada
mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula)
semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah),
sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya
Allah Amat segera hitungan hisabNya.
Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai
Muhammad), maka katakanlah: "Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian
juga orang-orang yang mengikutku". Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada
orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang "Ummi"
(orang-orang musyrik Arab): "Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (ugama Islam
yang aku bawa itu)?" Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka
telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima
Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu).
Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan
membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang
yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang
mengembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di
akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi
pertolongan.
Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang
(Yahudi) yang telah diberikan sebahagian dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada
Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang
timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar
sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).
Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: "Kami tidak
sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang
boleh dihitung". Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh
dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.
Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada
hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga)
disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan,
sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!
Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,
dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau
kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan
Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah
sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan
Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang
mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang
mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi
rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya".
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman
rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan
(larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah
dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya
yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya
kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah
jualah tempat kembali.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu
atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala
yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa
sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam
surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah
dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak
yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan
supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan
(ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah
daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan
(ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu,
jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang kafir.
Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi
Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka
masing-masing).
(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal
dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi
sentiasa Mengetahui.
(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan
kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala
urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku;
sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku
telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah
anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu -
dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku
telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian
juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan
disingkirkan)".
Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan
penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta
diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria
masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar
biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:" Wahai Maryam dari mana engkau dapati
(buah-buahan) ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah
memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira".
Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku!
Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya
Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan".
Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya):
"Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu
seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah,
dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan
menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh".
Nabi Zakaria berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang
anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?", Allah
berfirman: "Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya".
Nabi Zakaria berkata lagi: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang
menunjukkan isteriku mengandung)". Allah berfirman: "Tandamu itu ialah engkau
tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam)
melainkan dengan isyarat sahaja; dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir)
banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang),
pada waktu malam dan pada waktu pagi".
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam!
Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu
(beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman
denganmu).
Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami
wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka
ketika mereka mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di
antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (wahai Muhammad)
tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga
dan memelihara Maryam).
(Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan
khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan
kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih,
Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga
dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).
Maryam berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak,
padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?" Allah berfirman;
"Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia
berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya:
` Jadilah engkau ', lalu menjadilah ia."
Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan
menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan
membawa satu tanda (mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk
kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu
menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh
menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan
kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu
kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu.
Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda
(mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang
diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.
"Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab
Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu
sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga
aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu
bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.
Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari
mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia:" Siapakah penolong-penolongku (dalam
perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?". Orang-orang
"Hawariyyuun" (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong
(utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi
Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat
kepada Allah).
"Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan
kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang
menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)".
Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak
membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah),
Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.
(Ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu
dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu dari
orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu
mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari
kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum
(memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan".
Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang
amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa
pun yang dapat menolong.
Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan
menyempurnakan pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada
orang-orang yang zalim.
Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (wahai
Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan
kebenarannya), dan dari Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat - (pengetahuan
yang tepat, lagi sentiasa terpelihara).
Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti
(kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman
kepadanya: "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia.
Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau
beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita
menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta
perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon
kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah
ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta".
Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar; dan tiadalah Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Allah; dan (ingatlah), sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang
bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan
Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula
sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan
orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika
mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada
mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (ugama) Nabi
Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada
(zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan
akal?
Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang
perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam
Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada
pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah
mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya.
Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang
pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid
sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia
pula bukanlah dari orang-orang musyrik.
Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak
mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad)
ini serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah
ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.
Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat
menyesatkan kamu; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya
sendiri, dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu).
Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab (sesama sendiri): "Berimanlah kamu
kepada Al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada
sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa
ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula".
Dan (mereka berkata lagi): "Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang
yang mengikut ugama kamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya petunjuk
yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah". (Mereka berkata pula: "Janganlah
kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan
kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu".
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan
Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas
limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya.
Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan
sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna)
kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan
sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu
menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada
jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula
selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka
adalah berdusta).
Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan
janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang yang bertaqwa.
Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan
menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat
bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan
mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan
membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang
tidak terperi sakitnya.
Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya)
yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah
maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia
bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: "(bahawa) ia adalah
(datangnya) dari sisi Allah", padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka
pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa
mereka adalah berdusta).