Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan
mereka lepas satu: satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil
mereka mempermain-mainkannya -
Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya. Dan
orang-orang yang zalim itu, berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata:
"Bukankah (Muhammad) ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu? Maka
patutkah kamu turut hadir mendengar sihir yang dibawanya itu sedang kamu nampak
dan mengetahui karutnya?"
(Bagi menjawab mereka, Nabi Muhammad) berkata: "Tuhanku mengetahui tiap-tiap
perkataan (yang dilahirkan atau disembunyikan oleh makhluk-makhluk) di langit
dan di bumi; dan Dia lah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".
(Mereka bukan sahaja menyifatkan Al-Quran itu sihir) bahkan mereka menuduh
dengan berkata: "Al-Quran itu perkara karut yang dimimpikan oleh Muhammad,
bahkan perkara yang diada-adakan olehnya, bahkan Muhammad sendiri seorang
penyair. (Kalaulah ia sebenarnya seorang Rasul) maka hendaklah ia membawa kepada
kita satu mukjizat sebagaimana mukjizat-mukjizat yang dibawa oleh Rasul-rasul
yang telah diutus dahulu".
Tidak ada penduduk sesebuah negeri pun yang Kami binasakan sebelum mereka, yang
telah beriman kepada mukjizat yang diberi kepadanya; maka benarkah mereka yang
meminta mukjizat itu mahu beriman?
Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan
orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka
bertanyalah kamu kepada AhluzZikri" jika kamu tidak mengetahui.
Kemudian Kami tepati janji Kami kepada mereka, lalu Kami selamatkan mereka dan
sesiapa yang Kami kehendaki, dan (sebaliknya) Kami binasakan orang-orang yang
melampaui batas.
Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang
mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka
mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)?
Dan berapa banyak Kami telah pecah-belahkan dan binasakan penduduk negeri yang
melakukan kezaliman, dan Kami telah menjadikan sesudah mereka, kaum yang lain
sebagai gantinya.
(Lalu dikatakan kepada mereka): "Janganlah kamu lari, dan sebaliknya kembalilah
kepada kemewahan hidup yang telah diberikan kepada kamu, dan ke tempat-tempat
tinggal kamu, supaya kamu dapat ditanya mengenai apa yang berlaku".
Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu ia
menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah dia. Dan (tetaplah)
kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami).
Dan (ingatlah) segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan
Allah jua; dan malaikat-malaikat yang ada di sisiNya tidak membesarkan diri dan
tidak enggan daripada beribadat kepadaNya, dan tidak pula mereka merasa penat
dan letih.
Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya
rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan
menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka
sifatkan.
Patutkah mereka menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah? Katakanlah (wahai
Muhammad): "Bawalah keterangan dan bukti kamu; kandungan Al-Quran ini menjadi
peringatan dan bukti tauhid umatku, juga peringatan dan bukti tauhid umat-umat
yang dahulu daripadaku". (Kaum musyrik tidak mempunyai sebarang keterangan)
bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah,
dengan sebab itulah maka mereka berpaling ingkar.
Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan
Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu".
Dan mereka (yang musyrik) berkata: "(Allah) Ar-Rahman mempunyai anak". Maha
Sucilah Ia. Bahkan (mereka yang dikatakan menjadi anak Allah itu) ialah
hamba-hambaNya yang dimuliakan.
Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan), dan apa
yang di belakang mereka (yang akan mereka lakukan); dan mereka tidak memohon
syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah; dan mereka pula sentiasa
cemas takut daripada ditimpa azabNya.
Dan (jika ada) sesiapa di antara mereka berkata: "Sesungguhnya aku ialah tuhan
selain dari Allah", maka yang berkata sedemikian itu, Kami akan membalasnya
dengan (azab) neraka jahannam; demikianlah Kami membalas golongan yang zalim.
Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa
sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang
satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap
benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?
Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu
tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan
lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan
jasmani.
Dan Kami telah menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal,
sedang mereka (yang kafir itu) berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda
(kekuasaan Kami) yang ada padanya.
Dan Dia lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan
bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing
(di angkasa lepas).
Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di
dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka
akan hidup selama-lamanya?
Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan
kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
Dan apabila orang-orang kafir itu melihatmu, mereka hanyalah menjadikan perkara
yang engkau sampaikan itu sebagai ejek-ejekan sahaja, sambil berkata sesama
sendiri: "Inikah dia orangnya yang mencaci tuhan-tuhan kamu?" (Mereka berkata
demikian) sedang mereka sendiri kufur ingkar kepada Al-Quran yang mengandungi
peringatan Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.
Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya; Aku (Allah)
akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu
meminta disegerakan (kedatangannya).
Kalaulah orang-orang kafir itu mengetahui apa yang akan menimpa mereka ketika
mereka tidak dapat menahan atau mengelakkan api neraka dari muka dan belakang
mereka, dan mereka pula tidak diberi pertolongan, (tentulah mereka segera
beriman, dan tidak berkata demikian).
(Mereka tidak diberitahu akan masa itu) bahkan (yang dijanjikan) itu akan datang
kepada mereka secara mengejut, serta terus membingungkan mereka; maka mereka
tidak akan terdaya menolaknya, dan tidak akan diberi tempoh bertaubat.
Dan demi sesungguhnya, telah diperolok-olokkan beberapa Rasul sebelummu, lalu
orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka, ditimpakan balasan azab bagi
apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang dapat menjaga keselamatan kamu pada
malam dan siang daripada azab Tuhan yang bersifat Maha Pemurah?" (Mereka tidak
memikirkan yang demikian) bahkan mereka tetap berpaling ingkar dari pengajaran
Tuhan mereka.
Tidak ada bagi mereka tuhan-tuhan yang dapat melindungi mereka dari azab Kami.
Mereka yang dipertuhankan itu tidak dapat menolong dirinya sendiri, dan tidak
pula mereka dibantu dengan pertolongan dari pihak Kami.
(Bukan benda-benda yang dipertuhankan itu yang memberi kesenangan kepada mereka)
bahkan Kami biarkan mereka dan datuk-nenek mereka menikmati (kesenangan hidup)
hingga berlanjutanlah umur mereka (dalam keadaan yang menyebabkan berlaku
perkara yang tidak diingini mereka). Maka tidakkah mereka melihat bahawa kami
datangi daerah bumi yang mereka kuasai dengan menguranginya sedikit demi sedikit
dari sempadan-sempadannya? Jika demikian halnya, maka adakah mereka yang akan
menang?
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah memberi amaran kepada
kamu dengan wahyu (Al-Quran yang diturunkan Allah kepadaku); dan sudah tentu
orang-orang yang pekak tidak dapat mendengar seruan apabila mereka diberi
amaran, (maka janganlah kamu menjadi pekak kerana azab Tuhan amatlah berat).
Dan demi sesungguhnya, jika mereka disentuh oleh sedikit sahaja dari azab
Tuhanmu, sudah tentu mereka akan berkata: "Aduhai celakanya kami! Sebenarnya
kami adalah orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri)!"
Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang
amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan
teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun),
nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah
Kami sebagai Penghitung.
Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Musa dan Nabi Harun Kitab
(Taurat) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan yang menjadi
cahaya yang menerangi, serta yang mengandungi pengajaran, bagi orang-orang yang
mahu bertaqwa.
Iaitu mereka yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhannya semasa mereka tidak
dilihat orang, dan mereka pula gerun cemas akan (peristiwa-peristiwa yang
mengerikan pada) hari kiamat.
Dan Al-Quran ini juga pengajaran yang berkat, yang Kami turunkan (kepada Nabi
Muhammad); dengan keadaan yang demikian maka patutkah kamu mengingkarinya?
Mereka bertanya: "Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar (sebagai
seorang Rasul), atau engkau dari orang-orang yang bermain-main sahaja?"
Ia menjawab: "(Bukan bermain-main) bahkan (untuk menegaskan bahawa) Tuhan kamu
ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dia lah yang menciptanya; dan aku
adalah dari orang-orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian
itu.
(Setelah melihat kejadian itu) mereka bertanya: "Siapakah yang melakukan
perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari
orang-orang yang zalim".
Ia menjawab: "(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di
antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat
berkata-kata".
Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu)
lalu berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang
zalim".
Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata:
"Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa
berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami
bertanya kepadanya)?"
Nabi Ibrahim berkata: "Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari
Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan
juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu?
(Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Bakarlah dia
dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!"
Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang
menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan
hinanya).
Dan Kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya) sebagai
tambahan; dan tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami jadikan orang yang soleh.
Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang
benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan
kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula
sentiasa beribadat kepada Kami.
Dan kepada Nabi Lut, Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu; dan Kami
selamatkan dia dari bandar yang penduduknya selalu melakukan perkara-perkara
yang keji; sesungguhnya mereka itu adalah kaum jahat, yang fasik, derhaka.
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Nuh, ketika ia menyeru (berdoa kepada Kami)
sebelum (Nabi-nabi yang tersebut) itu, lalu Kami perkenankan doanya serta Kami
selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya dari kesusahan yang besar.
Dan Kami membelanya dari angkara kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami;
sesungguhnya adalah mereka kaum yang jahat; lalu Kami tenggelamkan mereka
semuanya (sehingga mati lemas dengan taufan).
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua
menghukum mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya
pada waktu malam; dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman
mereka.
Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu;
dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan
ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami
bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.
Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga
keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa
bersyukur?
Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup
menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami
mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Dan (Kami mudahkan) sebahagian dari Syaitan-syaitan untuk menyelam baginya,
serta melakukan kerja-kerja yang lain dari itu; dan adalah Kami mengawal mereka
(daripada melanggar perintahnya).
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya
dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang
lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".
Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang
menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi
ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi
orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).
Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya)
dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan
mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang
berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata:
"Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)!
Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya
aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri".
Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan
yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan
orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya
dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri
(dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang
mewarisi".
Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan
Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya.
(Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya
mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa
kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa
khusyuk (dan taat) kepada Kami.
Dan (sebutkanlah peristiwa) perempuan yang telah menjaga kehormatan dan
kesuciannya; lalu Kami tiupkan padanya dari Roh (ciptaan) Kami, dan Kami jadikan
dia dan anaknya sebagai satu tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi umat
manusia.
(Kebanyakan manusia masih berselisihan) dan berpecah-belah dalam urusan ugama
mereka; (ingatlah) mereka semuanya akan kembali kepada kami (untuk menerima
balasan).
Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia
beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan sesungguhnya Kami tetap
menulisnya.
Dan mustahil kepada penduduk sesebuah negeri yang Kami binasakan, bahawa mereka
tidak akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan di akhirat kelak).
(Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj
dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.
Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar, maka dengan serta-merta
pandangan mata orang-orang yang kufur ingkar terbeliak (sambil berkata dengan
cemas): "Aduhai celakanya Kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan
yang melalaikan kami daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi
orang-orang yang menganiaya diri sendiri".
Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, menjadi
bahan-bahan bakaran yang dilimparkan ke dalam neraka Jahannam; kamu (sudah
tetap) akan memasukinya.
Kalaulah mereka (yang kamu sembah) itu tuhan-tuhan, tentulah mereka tidak masuk
ke dalam neraka; dan (ketahuilah), semuanya (yang menyembah dan yang disembah)
akan kekal dalam neraka selama-lamanya.
Mereka tidak mendengar suara (julangan) api neraka itu, dan mereka akan kekal
selama-lamanya di dalam (nikmat-nikmat Syurga) yang diingini oleh jiwa mereka.
Huru-hara besar yang amat mengerikan (pada hari kiamat) itu tidak merunsingkan
mereka, dan (sebaliknya) mereka disambut oleh malaikat-malaikat dengan berkata:
"Inilah hari kamu (beroleh kebahagiaan), yang telah dijanjikan kepada kamu (di
dunia) dahulu".
(Ingatlah) hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat
catitan; sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi
wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami
tetap melaksanakannya.
Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan
sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi
oleh hamba-hambaKu yang soleh".
Sesungguhnya Al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi
orang-orang yang (cita-citanya) mengerjakan ibadat (kepada Allah dengan
berilmu).
Katakanlah: "Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah)
bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu
menurut apa yang diwahyukan kepadaku?"
Sekiranya mereka berpaling ingkar maka katakanlah: "Aku telah memberitahu kepada
kamu (apa yang diwahyukan kepadaku) dengan keterangan yang jelas untuk kita
bersama; dan aku tidak mengetahui sama ada (balasan buruk) yang dijanjikan
kerana keingkaran kamu itu, sudah dekat atau masih jauh.
"Dan aku tidak mengetahui (mengapa dilambatkan balasan buruk yang dijanjikan
kepada kamu itu) jangan-jangan lambatnya menjadi satu sebab yang menambahkan
azab kamu, dan di samping itu memberi kamu kesenangan hidup hingga ke suatu masa
yang tertentu".
(Nabi Muhammad merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku, hukumkanlah (di antara
kami dengan mereka) dengan yang benar; dan Tuhan kami ialah Yang Melimpah-limpah
rahmatNya yang dipohonkan pertolonganNya terhadap apa yang kamu sifatkan itu".