Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya
telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.
Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada
kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher
mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu
menjadilah mereka terdongak.
Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu
sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan
kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang
mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat).
lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat
(jalan yang benar).
Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah)
hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran
serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat
orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita
yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala
yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang
mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu
dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.
Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk
sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),
Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya;
kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu
Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu '.
Penduduk bandar itu menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami
juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama
yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta".
Penduduk bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang
dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari
menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan
sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi
sakitnya".
Rasul-rasul itu menjawab: "Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan
(kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan
nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)?
(Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau".
Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung
bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku!
Turutlah Rasul-rasul itu -
Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima ugama mereka? Maka jawabnya):
"Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah
(aku dan) kamu semua akan dikembalikan?
"Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak
patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan
sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan
mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.
Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan
tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami
menurunkannya.
Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang
mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan
mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.
Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan
sebelum mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka
(bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima balasan).
Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami),
ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya
biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.
Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan;
sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari
apa yang mereka tidak mengetahuinya.
Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan
siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;
Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar
ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi
Maha Mengetahui;
Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga
di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya -
(berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.
(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan,
dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar
terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.
Dan jika kami kehendaki, kami boleh tenggelamkan mereka; (kiranya Kami lakukan
yang demikian) maka tidak ada yang dapat memberi pertolongan kepada mereka, dan
mereka juga tidak dapat diselamatkan, -
Dan apabila dikatakan kepada mereka: " berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di
hadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia ini), dan apa yang ada di
belakang kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu beroleh rahmat",
(mereka tidak mengindahkannya).
Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada
mereka dari keterangan-keterangan tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling
daripadanya (enggan menerimanya).
Dan apabila dikatakan kepada mereka:" Dermakanlah sebahagian dari rezeki yang
dikurniakan Allah kepada kamu", berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada
orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): " Patutkah kami memberi makan
kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan memberinya makan? Kamu
ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata".
Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka
bertanya (secara mempersenda): " Bilakah datangnya (hari akhirat) yang
dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia
menunggu)!",
Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang - (dengan secara mengejut)
akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar
(merundingkan urusan dunia masing-masing).
Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau
lainnya), dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada
keluarganya.
Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah
mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari
kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.
(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai
celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,,
(Lalu dikatakan kepada mereka): " Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah
Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!,
Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka
dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima
balasan).
Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan kamu
pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan.
Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir): "Berpisahlah kamu pada
hari ini, hai orang-orang yang berdosa, (dari bercampur gaul dengan orang-orang
yang beriman).
"Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara
kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu
berfikir dan insaf?
Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang
kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan
kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.
(Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami
berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga
masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya
dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya?
(Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau kami kehendaki, kami
berkuasa mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang
mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan
juga tidak dapat undur ke belakang.
Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami
balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang
jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?
(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan
kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya
itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi
penerangan;
Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk
mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami
ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?
Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka,
sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari
kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka.
Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan tuduhan-tuduhan
mereka (terhadapmu). Sesungguhnya Kami sedia mengetahui apa yang mereka
sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan.
Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia
dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya
dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang
pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan
semula orang-orang yang mati),
Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan
itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya:
"Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?"
Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah
menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala
keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);
"Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau
basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon
itu".
Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan
langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia
sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa!
Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.
Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu,
hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia
terus menjadi.